Gamuda Berhad, bersama dua syarikat Taiwan, MiTAC Information Technology Corp dan Dong Pi Co. Ltd, telah berjaya mendapatkan “kontrak turnkey” bernilai RM4.3 bilion untuk mereka bentuk dan membina projek Transit Aliran Massa (MRT) Xizhi Donghu di Taiwan.
Dalam kerjasama ini, Gamuda memegang sebanyak 75% pegangan menjadikan jumlah yang diperolehi oleh Gamuda dalam nilai kontrak adalah sebanyak RM3.2 bilion.
Projek selama tujuh tahun ini melibatkan pembinaan trek MRT sepanjang 5.78 kilometer dengan enam stesen yang menghubungkan dari Daerah Neihu di Taipei sehingga Daerah Xizhi di Bandar Taipei Baharu.
Laluan MRT ini merupakan sebahagian daripada inisiatif infrastruktur untuk meningkatkan kemudahan sambungan pengangkutan di kawasan tersebut.
Selain kontrak utama, kerjasama ini juga akan melaksanakan kerja tambahan bernilai RM10.8 bilion.
Kerja tambahan ini merangkumi pembangunan Depoh Penyelenggaraan Laluan Xizhi Donghu serta kerja sistem dan trek bagi laluan MRT Keelung dan Minsheng.
Apabila digabungkan, nilai keseluruhan projek Gamuda meningkat kepada RM8.1 bilion, menjadikan jumlah nilai keseluruhan projek kepada RM15.1 bilion.
Projek ini merupakan kejayaan terbesar Gamuda di Taiwan sejak memasuki pasaran negara itu dua dekad lalu.
Ini menunjukkan kemampuan konsisten syarikat tersebut untuk bersaing mendapatkan projek bernilai tinggi dalam pasaran antarabangsa yang kompetitif serta kepercayaan pihak berkuasa Taiwan terhadap kepakaran mereka.