Hubungan diplomatik di antara Kanada dan India kini berada di hujung tanduk mencetuskan kebimbangan global selepas kedua-dua negara mengumumkan pengusiran enam diplomat masing-masing pada Isnin semalam.
Tindakan tegas ini diambil selepas tuduhan serius dari Kanada bahawa ejen kerajaan India terlibat dalam pembunuhan pemimpin pemisah Sikh, Hardeep Singh Nijjar, yang ditembak mati di bandar Vancouver pada tahun 2023.
Nijjar, yang memperjuangkan kemerdekaan Sikh, dilabel sebagai pengganas oleh India.
Namun di Kanada, beliau dianggap sebagai seorang pejuang komuniti yang disegani.
Pihak Polis Berkuda Diraja Kanada (RCMP) mendedahkan bahawa mereka memiliki bukti kukuh yang menunjukkan penglibatan ejen-ejen India dalam keganasan dan ancaman terhadap komuniti Asia Selatan di Kanada.
Tuduhan ini membawa kepada krisis diplomatik yang amat serius dalam sejarah hubungan kedua-dua negara.
Walau bagaimanapun, India dengan tegas menafikan tuduhan tersebut dan bertindak untuk mengusir diplomat Kanada.
Negara tersebut juga membawa pulang wakil-wakil tertingginya yang berada di Kanada, sambil menuduh Kanada telah memberi perlindungan kepada penghasut yang menentang India.
Ketegangan hubungan ini telah menarik perhatian global, terutamanya dari Amerika Syarikat dan negara-negara Barat yang bimbang dengan implikasi geopolitik lebih luas.
Tindakan telah diambil untuk menjalin hubungan lebih rapat dengan India bagi menghadapi pengaruh China yang semakin meningkat.
Dengan kedua-dua negara masih bertegas dengan pendirian masing-masing, ramai yang menjangkakan krisis ini akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.
Buat masa sekarang, seisi dunia sedang memasang mata dengan lebih dekat untuk mengetahui bagaimana situasi ini mempengaruhi kestabilan diplomatik dan keselamatan global.