Perubahan arah harga dipamerkan pada pembukaan bagi dagangan awal Disember semalam melihatkan mata wang US dolar kembali bangkit dari kejatuhan minggu lepas.
Pelabur berwaspada di awal minggu selepas laporan berkenaan ugutan Donald Trump untuk mengenakan tarif sehingga 100% ke atas negara-negara BRICS yang mencetuskan sentimen pasaran yang berisiko.
Selain dipacu oleh sentimen risk-off, US dolar juga turut mendapat sokongan pada terbitan data tinjauan ISM yang diterbitkan di sesi New York semalam menyaksikan bacaan baik bagi sektor pembuatan Amerika Syarikat (AS) pada November.
Tumpuan akan beralih kepada data pekerjaan JOLTS malam ini sebelum menantikan laporan pekerjaan NFP AS di penghujung minggu.
Meneliti pergerakan harga pada carta pasangan mata wang EUR/USD, isyarat perubahan trend harga dilihat ketika US dolar mula memaparkan pengukuhan di awal minggu semalam.
Membuka dagangan sesi Asia semalam di sekitar 1.05600, harga kemudiannya menunjukkan penurunan sehingga melepasi paras penting pada 1.05000 sebelum mencecah 1.04600.
Pergerakan harga di bawah garisan halangan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta itu menjadi petunjuk untuk corak bearish tersebut dengan penurunan harian sekitar 100 pips dicatatkan.
Namun, menuju penghujung sesi New York, harga melantun perlahan untuk kembali semula hampiri paras tumpuan 1.05000 sebelum mendatar di sekitar itu di awal sesi Asia pagi ini (Selasa).
Corak penurunan dijangka akan diteruskan untuk harga seterusnya menuju paras tumpuan berikutnya pada 1.04000.
Penurunan lebih rendah akan kembali mencabar rekod terendah tahun ini berhampiran zon 1.03000.
Namun jika harga menunjukkan lonjakan ketara semula di atas 1.05000 dan turut melepasi halangan MA50, ini akan menjadi isyarat untuk harga bergerak lebih tinggi semula.
Rintangan adalah pada paras 1.06000 untuk diuji harga sebelum catatan paras ketinggian terbaru berlaku.
Lihat gambar carta harga pasangan EUR/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.