Bank pusat Libya dilaporkan telah menghentikan kesemua operasi mereka selepas pegawai penting diculik di ibu negara Tripoli.
Pada Ahad, pengumuman berkenaan penculikan Pengarah Teknologi Maklumat, Musab Msallem telah mengejutkan ramai pihak.
Dilaporkan bahawa Msallem telah diculik di kediaman beliau oleh kumpulan yang tidak dikenali pada pagi Ahad dan para pegawai yang lain turut diugut untuk diculik.
Pihak bank pusat memaklumkan bahawa operasi bank tidak akan diteruskan sehingga Msallem dilepaskan oleh penjenayah.
Menurut laporan agensi berita AFP, insiden tersebut berlaku selepas tempoh seminggu bank pusat itu dikepung oleh sekumpulan lelaki bersenjata.
Tindakan kumpulan bersenjata itu dikatakan adalah untuk mendesak peletakan jawatan gabenor bank Seddik al-Kabir yang telah lama dikritik kerana kegagalan dalam menguruskan sumber minyak negara dan belanjawan.