Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS pada dagangan Selasa berikutan jangkaan yang tinggi terhadap langkah pengurangan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed).
Pada jam 10.30 pagi, ringgit susut sedikit pada 4.3540 iaitu hilang 0.21% berbanding dolar AS daripada ia ditutup 4.3470 pada dagangan Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata Presiden Fed San Francisco Mary Daly memberikan bayangan bahawa pengurangan kadar faedah sebanyak suku mata berkemungkinan akan ditetapkan pada mesyuarat September depan.
Katanya lagi, trajektori ringgit kekal positif memandangkan status quo dasar monetari Malaysia dijangka kekal.
Sentimen seperti ini bakal mencerminkan Kadar Dana Fed AS dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia akan mengecil dalam beberapa bulan akan datang.
Walau bagaimanapun, pasaran perlu bersedia dengan kemungkinan berlakunya aktiviti pengambilan untung selepas kedudukan ringgit positif sejak kebelakangan ini.
Sementara itu, ringgit lebih tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0073/0099 daripada 3.0188/0214 ketika ditutup pada Isnin dan naik berbanding euro kepada 4.8526/8565 daripada 4.8565/8604.
Bagaimanapun, ringgit sedikit rendah berbanding pound British kepada 5.7333/7379 daripada 5.7324/7370 semalam.
Pada masa sama, unit tempatan didagangkan dengan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara Asean.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3333/3365 daripada 3.3367/3396 ketika ditutup semalam dan lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.7815/8009 daripada 12.7891/8050.
Unit domestik tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.75/7.77 dan turut mendatar berbanding rupiah Indonesia pada 281.5/281.8. – Bernama