US dolar menyaksikan pemulihan nilai pada dagangan Selasa semalam namun melemah semula ketika menyambung dagangan di sesi New York.
Sentimen pasaran berisiko yang menjadi tumpuan pelabur ketika ini menjadi faktor menyokong pemulihan US dolar sebagai mata wang safe-haven.
Namun, penganalisis melihat US dolar kekal berisiko untuk alami kejatuhan lanjut susulan jangkaan Federal Reserve (Fed) bakal melaksanakan pelonggaran dasar monetari yang agresif pada mesyuarat September nanti.
Laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan pada Jumaat lalu dilihat menjadi pencetus kebimbangan terhadap risiko kemelesetan ekonomi global sehingga mempengaruhi keseluruhan pasaran kewangan.
Bukan sahaja mata wang yang terkesan, pasaran saham turut alami situasi yang menakutkan dengan penjualan besar-besaran saham syarikat-syarikat gergasi.
Kejatuhan pasaran di AS menyusuli situasi buruk pasaran di Jepun dengan pengunduran para pelabur selepas bank pusat Jepun (BOJ) melaksanakan langkah pengetatan dasar monetari.
Mata wang pulangan tinggi seperti dolar Australia dan dolar New Zealand alami kejatuhan teruk di awal minggu susulan sentimen risk-off pasaran. Namun pulih semula di pertengahan minggu ini.
Reserve Bank of Australia (RBA) pada mesyuarat semalam telah mengekalkan kadar faedah tidak berubah namun pelabur mengambil kira ucapan susulan gabenor Michele Bullock yang bernada hawkish.
Tumpuan akan diberikan sekali lagi kepada Bullock pada Khamis yang bakal berucap pada acara di New South Wales.
Data pekerjaan New Zealand telah menjadi tumpuan pada pembukaan sesi Asia pagi ini menyaksikan kadar pertambahan pekerjaan yang positif pada Jun mengatasi ramalan, sementara kadar pengangguran meningkat kepada 4.6% namun lebih rendah berbanding jangkaan 4.7%.