Biro Perlindungan Kewangan Pengguna (CFPB) Amerika Syarikat telah mengarahkan pembayaran denda berjumlah $89 juta kepada Apple dan Goldman Sachs.
Denda ini dikenakan selepas siasatan mendapati kedua-dua syarikat ini terlibat dalam penipuan pengguna berkaitan Apple Card, kad kredit yang diperkenalkan melalui kerjasama pada tahun 2019.
Menurut CFPB, Apple dan Goldman Sachs gagal mengendalikan aduan pengguna dengan baik, serta menipu mengenai pelan pembayaran tanpa faedah automatik untuk pembelian peranti Apple.
Siasatan mendapati puluhan ribu aduan pengguna didakwa tidak dihantar kepada Goldman Sachs, dan apabila aduan diterima, pihak bank pula tidak mematuhi syarat penyiasatan persekutuan.
Ini menyebabkan pelanggan terjejas menghadapi kelewatan bayaran balik, malah ada yang mengalami kemerosotan skor kredit mereka.
Pengarah CFPB, Rohit Chopra, menyatakan bahawa Apple dan Goldman Sachs telah mengelak daripada bertanggungjawab di atas perbuatan mereka kepada peminjam Apple Card.
Beliau turut memberikan amaran kepada syarikat teknologi besar dan firma Wall Street untuk tidak berkelakuan seolah-olah mereka terlepas daripada undang-undang persekutuan.
CFPB telah mengarahkan Goldman Sachs untuk membayar pampasan sebanyak $19.8 juta kepada pengguna, di samping denda sivil sebanyak $45 juta.
Sementara itu, Apple didenda sebanyak $25 juta.
CFPB juga mengkritik pelancaran Apple Card yang diteruskan walaupun terdapat amaran tentang masalah teknikal yang belum diselesaikan yang boleh menjejaskan sistem aduan.
Sebahagian pemegang kad Apple Card dikenakan caj faedah atas pembelian, walaupun dijanjikan pelan pembayaran tanpa faedah.
Masalah ini timbul akibat komunikasi yang kurang jelas daripada pihak bank mengenai cara pembayaran balik berfungsi, sekaligus membuatkan ramai pengguna menanggung bayaran faedah yang banyak tanpa disedari.
Insiden ini turut mencetuskan spekulasi tentang kerjasama masa depan antara Apple dan Goldman Sachs, dengan beberapa laporan menyebut bahawa JPMorgan Chase mungkin akan menjadi rakan kongsi baru Apple Card, susulan keretakan hubungan antara Apple dan Goldman Sachs yang bermula pada tahun 2023.