Para pelabur emas perlu mengetahui negara China sememangnya sangat kuat mempengaruhi dagangan komoditi logam kuning itu.
Kenapa situasi ekonomi China yang merosot turut beri kesan negatif kepada emas?
Sebagai ekonomi gergasi selepas Amerika Syarikat, negara China merupakan pengeluar dan pengguna emas terbesar di dunia.
Sehingga tahun 2006, Afrika Selatan telah menjadi pengeluar emas terbesar di dunia. Namun selepas tahun 2007, pengeluaran oleh negara itu yang semakin menurun membuatkan China menjadi negara pengeluar terbesar dan memonopoli pasaran selama bertahun-tahun.
Walaupun Australia menyimpan rizab emas paling tinggi di dunia, namun China berjaya mengatasi Australia dari aspek pengeluaran.
Justeru sebagai negara pengeluar terbesar emas, sebarang situasi buruk yang tercetus di China boleh mengundang ketakukan kepada pelabur emas dengan menjangkakan kejatuhan harga boleh terjadi.
Hal ini membuatkan China sering menjadi tumpuan utama kepada pelabur setiap kali data-data ekonomi penting negara itu bakal diterbitkan.
Selain menjadi pengeluar terbesar, China juga merupakan pengguna utama emas di mana jumlah permintaan terhadap emas merangkumi barang kemas, pelaburan dan rizab yang dipegang oleh bank pusat.
Dasar ekonomi China yang ingin mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang USD turut mendorong mereka meningkatkan pembelian emas mereka daripada membeli USD.
Seperti umum ketahui, China merupakan salah satu negara yang memperjuangkan de-dollarization dalam kumpulan negara BRICS.
Permintaan terhadap USD yang lemah boleh menyusutkan nilai mata wang negara Amerika tersebut yang selari dengan hasrat China.
Dengan meningkatkan pembelian emas akan turut mendorong kenaikan harga emas dalam pasaran.
Disebabkan itu, para pelabur sangat peka akan tindakan China berkaitan dengan emas sama ada mereka melakukan pembelian atau penjualan berskala besar kerana dapat memberi kesan terhadap pergerakan harga emas.
Sifat emas yang dianggap sebagai safe-haven mendapat permintaan yang tinggi ketika keadaan ekonomi di China berada dalam keadaan yang membimbangkan.
Ini kerana sebarang ketidaktentuan yang melanda ke atas ekonomi kedua terbesar dunia itu boleh mengganggu seluruh rantaian global, sekaligus meningkatkan permintaan emas sebagai aset simpanan yang selamat.
Kesimpulannya, China menjadi salah satu aspek utama yang menjadi penggerak pasaran emas global yang perlu diberikan perhatian oleh para pelabur.