Here are some of the important economic data that will be the focus of the market throughout this week.
SELASA (18 Februari 2025)
Mesyuarat Polisi RBA (11.30 Pagi) – Reserve Bank of Australia akan mengumumkan kadar faedah terbarunya pada minggu ini dengan jangkaan pemotongan 25 mata asas bakal dilaksanakan. Ini bakal menjadi pemotongan kali pertama sejak kadar faedah dikekalkan di paras 4.35% sejak November 2023 yang lalu.
Data Pekerjaan UK (3.00 Petang) – Pertambahan pekerjaan di UK serta indek purata upah 3 bulan akan diperhatikan yang boleh mempengaruhi hala tuju pergerakan mata wang Pound minggu ini. Data ini juga akan menjadi petunjuk kepada bank pusat dalam penetapan dasar monetari pada bulan hadapan.
Data Inflasi Kanada (9.30 Malam) – Bacaan inflasi bulanan Kanada untuk Januari dijangka kembali ke paras sifar selepas angka di paras negatif dicatatkan pada laporan sebelum ini. Data terbaru akan menjadi panduan bank pusat Kanada yang dilihat masih rancak dalam tindakan pelonggaran dasar mereka.
RABU (19 Februari 2025)
Mesyuarat Polisi RBNZ (9.00 Pagi) – Bank pusat New Zealand (RBNZ) dijangka akan melaksanakan pelonggaran dasar yang agresif dengan pemotongan 50 mata asas bagi kadar faedah terbarunya. Kadar faedah di paras 4.25% bakal turun kepada 3.75%.
Data Inflasi UK (3.00 Petang) – Selepas inflasi tahunan UK pada Disember susut sedikit daripada 2.6% kepada 2.5%, jangkaan terbaru untuk angka inflasi Januari adalah kembali melonjak ke paras 2.8%. Dilema akan tercetus buat bank pusat England dalam rancangan pelonggaran dasar mereka sekiranya inflasi terus meningkat naik.
KHAMIS (20 Februari 2025)
Minit Mesyuarat FOMC (3.00 Pagi) – Butiran lanjut akan diperhatikan pelabur untuk petunjuk pada dasar monetari Federal Reserve. Pada mesyuarat Januari lalu, ahli FOMC sebulat suara bersetuju untuk kadar faedah dikekalkan dan Pengerusi Jerome Powell mengekalkan nada berhati-hati untuk keputusan di masa hadapan.
Data Pekerjaan Australia (8.30 Pagi) – Bakal memberi tekanan terhadap dollar Aussie minggu ini, pertambahan pekerjaan di Australia pada Januari diramal perlahan pada 19,700 berbanding peningkatan 56,300 bulan sebelumnya. Manakala, kadar pengangguran diunjurkan meningkat daripada 4.0% kepada 4.1%.
JUMAAT (21 Februari 2025)
PMI Pembuatan & Perkhidmatan Eropah (5.00 Petang) – Kesihatan semasa ekonomi di Eropah khususnya Jerman akan dinilai menerusi bacaan pada sektor pembuatan dan perkhidmatan bagi bulan Januari.
PMI Pembuatan & Perkhidmatan UK (5.30 Petang) – Kedua-dua sektor penting di UK ini dijangka tidak menunjukkan perubahan ketara untuk bacaan Januari berbanding bulan sebelumnya. Jika berlaku perubahan ketara pada angka, impak lebih besar akan dilihat pada mata wang Pound.
PMI Pembuatan & Perkhidmatan AS (10.45 Malam) – Sektor pembuatan dan perkhidmatan Amerika untuk Januari dijangkakan kekal stabil dengan bacaan di atas paras 50 mata bagi bulan Januari.