Amerika Syarikat (AS) telah menambah beberapa syarikat utama China, termasuk gergasi teknologi Tencent dan pembuat bateri CATL, ke dalam senarai firma yang didakwa bekerjasama dengan pihak tentera China.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha Washington untuk menghalang sebarang risiko keselamatan daripada syarikat perniagaan dari China.
Senarai kemas kini Pentagon, yang dikenali sebagai “senarai Seksyen 1260H,” kini terdapat 134 syarikat.
Antaranya ialah Tencent yang terkenal dengan aplikasi media sosial popular WeChat, pembuat bateri CATL, pembuat cip Changxin Memory Technologies, firma komunikasi wayarles Quectel serta pengeluar dron Autel Robotics.
Saham Tencent yang disenaraikan di AS turun sebanyak 8% berikutan pengumuman itu.
Syarikat itu telah menegaskan ia tidak mempunyai hubungan ketenteraan dengan tentera China.
CATL dan Quectel juga menafikan sebarang kaitan dengan tentera China.
Tindakan ini adalah antara tindakan yang diambil oleh AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana ketegangan antara kedua-dua negara terus meningkat.
Walaupun termasuk dalam senarai tersebut, syarikat yang terlibat tidak segera diharamkan untuk terus melakukan urusan perniagaan, namun ianya sebagai amaran dan risiko kepada firma Amerika dan berkemungkinan boleh membawa kepada sekatan selanjutnya pada masa hadapan.