Mungkin isu ini merupakan jawapan kepada kenyataan Trump yang mengatakan perbincangan bersama China sedang berlangsung dengan ‘damai dan jayanya’!
Perang perdagangan AS-China terus marak dengan balasan China yang secara rasminya telah membekukan penerbangan Boeing daripada menerima sebarang penghantaran pesawat baharu daripada syarikat penerbangan gergasi Amerika itu.
Beijing mendakwa tarif Amerika Syarikat (AS) yang melonjak sehingga 145% ke atas barangan China telah “mengganggu pasaran pengangkutan udara global”.
Boeing, yang merancang untuk menghantar 50 jet ke China pada 2025, kini berdepan kebuntuan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Kelly Ortberg, mengesahkan penghantaran dihentikan akibat iklim tarif yang tegang, dan memberi amaran bahawa syarikat itu akan terpaksa menawarkan pesawat tersebut kepada pelanggan lain jika keadaan tidak berubah.
Membalas kepada masalah tersebut, Presiden Donald Trump mengecam hebat tindakan China kerana menarik diri daripada perjanjian dan menggesa Boeing untuk “default China” atas kegagalan menerima pesawat yang telah siap dibina.
China membalas pada Selasa, mengatakan tarif AS telah menyukarkan perdagangan biasa dan menyeru agar AS menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih “stabil dan boleh dijangka”.
Buat masa ini, 50 pesawat Boeing yang berkilat itu kekal terbiar terperangkap dalam konflik politik dua kuasa besar.