Di sebalik pergolakan tarif yang menimbulkan kekecohan ke atas pasaran global sejak minggu lepas, tersimpan agenda yang tersendiri selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan jeda 90 hari tarif semalam.
Situasi penangguhan tarif ini menimbulkan kelegaan kepada dunia yang tertekan dalam menghadapi cabaran tarif, namun dalam masa sama Trump umumkan tarif baharu berjumlah 125% ke atas China atas faktor penentangan terhadap republik tersohor dunia itu.
Pengumuman jeda 90 hari memberikan berita gembira kepada syarikat gergasi Apple dengan melihatkan sahamnya telah kembali melonjak lebih 15%.
Apple kini juga giat mengalihkan bekalan iPhone ke pasaran AS dan India, meskipun kebanyakan produknya berpangkalan di China yang akan berdepan tarif tertinggi.
Pelabur berharap Apple dikenakan pengecualian tarif berikutan syarikat itu komited untuk melabur $500 billion di AS dalam tempoh empat tahun akan datang.
Penganalisis Wamsi Mohan di BofA Securities menganggarkan bahawa kos Apple akan meningkat sehingga 90% jika pengeluaran dilakukan sepenuhnya di Amerika.
Beliau melihat beberapa pilihan untuk syarikat Apple mengurangkan risiko tersebut iaitu dengan mendapatkan lebih banyak iPhone dari India, dan meneroka kenaikan harga untuk kecekapan kos selain mengubah tarikh pelancaran produk pada waktu lebih sesuai.
Secara tidak langsung, jeda 90 hari dari Trump memberikan kesan positif terhadap syarikat Apple meskipun tarif akan dikuatkuasakan semula dengan lebih mencabar selepas tamat tempoh penangguhan itu.