Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pernah bekata, “Keamanan dicapai melalui kekuatan.”
Tetapi kini, mengapa tiba-tiba Ukraine yang disalahkan atas peperangan dengan Rusia walhal satu dunia sedia maklum bahawa Moscow yang memulakan pencerobohan pada 2022.
Apa yang berubah? Adakah ini petanda hubungan AS-Rusia semakin akrab?
Dalam satu kenyataan terbaru, Trump menegaskan perang ini boleh dielakkan jika Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mencapai perjanjian dengan Rusia lebih awal.
Malah, beliau mengecam Zelensky kerana gagal menamatkan perang selepas tiga tahun, sambil menepis kemarahan pemimpin Ukraine itu yang diketepikan daripada rundingan damai AS-Rusia di Riyadh.
Ironinya, ketika Trump bercakap tentang ‘perdamaian’, Rusia menggila dengan serangan udara ke Odesa, memusnahkan sekolah, hospital, dan menyebabkan 160,000 penduduk terputus bekalan elektrik dalam suhu beku.
Namun, Trump masih bersedia untuk bertemu Putin, mencetuskan kebimbangan bahawa Washington sedang menekan Ukraine untuk tunduk kepada kehendak Moscow.
Zelensky membalas dengan keras, memberi amaran bahawa “penipu patologi” di Kremlin tidak boleh dipercayai.
Persoalannya – adakah AS sedang mengorbankan Ukraine demi menjaga hati Putin?