Pengurusan kewangan yang baik adalah kunci kepada kestabilan kewangan.
Namun, ramai di antara kita masih tidak sedar bahawa mereka telah terperangkap dalam masalah kewangan bermula daripada punca yang amat remeh.
Berikut adalah penyebab utama yang sering menghalang individu daripada mengurus kewangan mereka dengan baik.
1. Kurang Pengetahuan
Walaupun pengetahuan tentang pengurusan kewangan amat penting, ia sering dianggap remeh oleh sesetengah pihak sehingga mereka tidak mempunyai simpanan pada waktu kecemasan.
Sediakan payung sebelum hujan. Ambil tahu dan cakna tentang ilmu pengurusan kewangan supaya anda tidak akan menyesal di kemudian hari.
Anda juga boleh memanfaatkan laman web yang mengajarkan tentang cara pengurusan kewangan yang betul. Hanya perlu tekan aplikasi cari dan pelbagai halaman sedia terpampang buat anda untuk mempelajari tentang kewangan.
Bukan setakat pembelajaran tentang pengurusan kewangan, malah membezakan antara hutang baik dan buruk, serta menjejak perbelanjaan hanyalah semudah satu klik.
2. Gagal Merancang
Manusia tidak merancang untuk gagal, tapi mereka gagal untuk merancang. Tanpa perancangan kewangan yang jelas, individu sering terjebak dalam masalah pengurusan kewangan.
Mengikut data statistik, hanya 5% individu yang bijak merangka perancangan kewangan, dan kurang daripada 2% yang menulisnya.
Dalam menghadapi cabaran kewangan yang mencabar, mengurus kewangan dengan bijak adalah kunci kejayaan.
Sedikit tips untuk perancangan kewangan anda, adalah dengan menggunakan formula 50:30:20, di mana 50% pendapatan diperuntukkan untuk keperluan, 30% untuk kehendak, dan 20% untuk simpanan.
Pastikan anda merekod setiap perbelanjaan menggunakan aplikasi kewangan untuk mengelakkan pembaziran serta membantu untuk bezakan antara keperluan dan kehendak sebelum membuat pembelian.
Dengan cara ini, anda mungkin tidak perlu risau kehilangan jejak wang sepanjang masa!
3. Kelemahan Urus Hutang
Mengambil hutang untuk pelaburan atau dalam situasi kecemasan boleh menjadi bermanfaat, namun berbelanja menggunakan hutang untuk barangan yang tidak perlu boleh menimbulkan masalah kewangan.
Jika anda terjebak dalam hutang, hentikan pembaziran dan fokus pada penggunaan hutang yang memberi pulangan.
Selain itu, pastikan semua pembayaran dibuat tepat pada masanya untuk menjaga kredit anda, kerana kelewatan boleh menyukarkan akses kepada pembiayaan di masa hadapan.
Pengurusan hutang yang bijak adalah kunci kepada kestabilan kewangan.
4. Tidak Disiplin
Disiplin merupakan faktor yang amat penting dalam mengatur perancangan kewangan yang berjaya.
Sebelum anda membelanjakan wang anda, tanya diri anda sama ada ianya satu keperluan atau kemahuan.
Elakkan godaan untuk membelanjakan wang anda pada item yang tiada dalam bajet.
Anda mungkin boleh mula untuk membuat pelaburan yang bijak jika anda berjaya menjaga disiplin dalam menguruskan wang anda.
Masalah pelaburan dan pengurusan wang mungkin kelihatan menakutkan pada mulanya, tetapi anda akan dapat menguasainya dalam masa yang singkat.
Cara anda menguruskan wang anda akan menentukan keadaan anda di masa hadapan.