Bosan Lihat Ringgit Makin Merosot? Jom Baca Punca-Puncanya!

2,282

Penurunan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) sejak beberapa tahun ini semakin membimbangkan situasi ekonomi tempatan. Ia akan turut menjejaskan sosioekonomi serta meningkatkan harga barangan import.

Ramai sudah mula bosan dengan penurunan nilai mata wang ringgit sejak beberapa tahun ini. Seringkali timbul persoalan, bilakah ia akan bangkit?

Sebelum berfikir lebih jauh, artikel ini akan berkongsikan 6 faktor utama kenapa mata wang ringgit susah sangat nak mengukuh sejak dua menjak ini.

1. Perubahan Pasaran Global

Perubahan naik turun mata wang ringgit dalam tempoh jangka masa pendek kini lebih bergantung kepada situasi pasaran global di Amerika Syarikat dan China.

Pertumbuhan ekonomi dan paras kadar faedah yang tinggi di Amerika Syarikat memberi kelebihan kepada kekuatan mata wang dolar AS. Secara tidak langsung, ini akan menonjolkan jarak yang ketara dalam perbezaan nilai mata wang berbanding ekonomi negara Malaysia yang kecil ini.

Selain itu, situasi pasaran ekonomi China yang alami kelembapan turut menarik pandangan pelabur pertukaran mata wang asing global yang beranggapan bahawa ekonomi Asia kurang memberi impak dalam meraih keuntungan.

2. Kadar Faedah

Penetapan kadar faedah yang kekal 3.0 peratus pada penghujung 2023 telah menyebabkan pergerakan ekonomi tempatan kekal stabil. Keputusan itu merupakan satu respon oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa situasi ekonomi negara masih dalam keadaan terkawal dan baik.

Itu merupakan keputusan tidak berubah untuk empat kali berturut-turut sejak Mei 2023 hingga sekarang.

3. Data Inflasi

Kini, kadar inflasi keseluruhan Malaysia yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) masih kekal pada tahap 1.5% pada Disember 2023.

Ini menjadikan inflasi keseluruhan secara tahunan pada 2023 meningkat 2.5 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2022. Dorongan positif ini akan terus membantu nilai mata wang ringgit untuk terus bertahan.

Jika terdapat kebimbangan tentang kenaikan inflasi yang tidak terkawal, ia boleh menyebabkan penurunan daya beli ringgit dan menyebabkan kelemahan mata wang.

4. Keyakinan Pasaran Tempatan

Peningkatan bilangan pelabur domestik terutama melibatkan syarikat tempatan di Malaysia menunjukkan keyakinan dalam kalangan pelabur semakin tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Sepanjang tahun lepas, Malaysia telah meluluskan pelaburan bernilai RM225 bilion dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama dalam tempoh Januari hingga September 2023. Laporan itu meningkat 6.6 peratus daripada pelaburan RM211 bilion yang diluluskan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Namun, sentimen pasaran mampu berubah arah disebabkan oleh faktor-faktor seperti ketidakstabilan politik, kelemahan ekonomi atau ketidakpastian dasar kewangan yang boleh menyebabkan kehilangan keyakinan para pelabur.

5. Pergerakan Harga Minyak Sawit

Malaysia merupakan pengeluar dan pengeksport minyak sawit yang signifikan di peringkat global. Jika harga minyak turun, ia boleh menjejaskan pendapatan negara dan memberi tekanan kepada mata wang.

Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka didagangkan lebih tinggi melepasi paras RM4,000 satu tan pada 2024 berikutan kekangan bekalan ekoran ancaman El Nino yang sederhana dan aktiviti pembajaan yang lebih rendah pada 2021 dan 2022.

6. Ketidakpastian Politik & Dasar Ekonomi

Ketidakstabilan politik dalam negara atau ketidakpastian mengenai dasar-dasar ekonomi boleh memberi kesan negatif kepada kepercayaan pelabur dalam ringgit.

Sejak Pilihan Raya Umum Ke-15, kekacauan dalaman politik telah menjadi topik utama di media tempatan selepas Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim berjaya membentuk sebuah kerajaan perpaduan hasil gabungan beberapa buah parti untuk membentuk majoriti.

Namun, sejauh manakah kredibiliti yang mampu dibawa kerajaan ini dalam menstabilkan atmosfera politik serta dasar ekonomi tempatan yang lebih mampan?

Jadi, ini merupakan 6 faktor besar yang menjadi penyebab utama dalam pergerakan naik turun mata wang ringgit sejak beberapa tahun ini.

Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada semua pembaca!

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat