US dolar menjadi mata wang utama didagangkan sepanjang masa. Jadi data-data ekonomi penting yang berkaitan perlu diperhatikan kerana boleh memberi kesan ke atas US dolar.
Setiap hari, para trader akan memerhatikan apakah data-data ekonomi yang bakal mempengaruhi pergerakan harga pada hari tersebut.
Ada macam-macam data untuk ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang boleh pengaruhi mata wang US dolar, tapi data manakah yang perlu dilihat?
Berikut adalah senarai data-data penting ekonomi AS yang berimpak tinggi (high impact) dan sering memberi kesan jelas terhadap reaksi US dolar ketika diterbitkan.
Federal Fund Rates
Terma ini merujuk kepada sasaran kadar faedah yang ditetapkan oleh ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang menentukan kadar pinjaman yang dikenakan ke atas bank komersial.
Perubahan pada kadar faedah akan memberi impak besar terhadap nilai mata wang, malah turut mempengaruhi pergerakan pasaran saham.
Consumer Price Index (CPI)
Indeks harga pengguna merupakan data yang menilai perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna.
Data ini menjadi indikator penting sebagai pengukur inflasi dan diperhatikan oleh Federal Reserve (Fed) dalam penetapan dasar monetari.
Employment (NFP)
Laporan pekerjaan turut menjadi indikator penting dalam sebuah ekonomi yang akan memberi gambaran kesihatan sektor buruh AS.
Diterbitkan pada setiap Jumaat di minggu pertama awal bulan, trader akan meneliti 3 bacaan data berikut:
- Non-farm employment change – jumlah pertambahan pekerjaan pada bulan lepas
- Unemployment rate – kadar pengangguran pada bulan lepas
- Average Hourly Earnings – purata pendapatan per jam yang dibayar kepada pekerja
Gross Domestic Product (GDP)
Data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengukur jumlah pengeluaran dan penggunaan barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi.
Data GDP AS akan dilaporkan secara suku tahunan dengan diterbitkan pada 3 versi iaitu Advance, Preliminary dan Final.
Producer Price Index (PPI)
Indeks harga pengeluar adalah seperti data CPI, namun data ini mengukur perubahan harga jualan oleh pengeluar domestik untuk produk mereka.
Data ini diperhatikan trader kerana perubahan pada harga pengeluar boleh memberi gambaran impak seterusnya terhadap harga pengguna.
Retail Sales
Data jualan runcit mengukur tahap perbelanjaan pengguna dengan mengira jumlah barangan terjual pada perniagaan runcit dalam tempoh 1 bulan.
Walaupun bacaan data kadang kala tak menentu berikutan faktor musim, namun ia menjadi salah satu indikator penting pengukur kesihatan ekonomi dengan dinilaikan bersama data GDP.
Manufacturing & Non-Manufacturing ISM
Laporan bulanan bagi tinjauan untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan diterbitkan oleh Institute for Supply Management (ISM) penting kerana memberi maklumat semasa berkenaan aktiviti ekonomi.
Tinjauan dijalankan ke atas 300 pengurus pembelian yang mewakili 20 industri berbeza di seluruh Amerika.
Bacaan angka indeks di atas 50 mata menunjukkan pengembangan bagi sektor tersebut manakala di bawah 50 mata menunjukkan penguncupan pada sektor.
Tinjauan pada sektor perkhidmatan adalah lebih diutamakan kerana Amerika adalah negara yang berlandaskan perkhidmatan dan tinjauan data juga turut memberi isyarat awal terhadap kesihatan sektor buruh.
Consumer Confidence
Data tinjauan keyakinan pengguna AS mengukur tahap keyakinan individu terhadap ekonomi semasa.
Dua laporan yang popular adalah diterbitkan oleh Conference Board (CB) dan juga University of Michigan (UoM).
Tinjauan oleh CB adalah terhadap 5,000 isi rumah untuk memantau keadaan perniagaan di kawasan tempat tinggal, ketersediaan pekerjaan dan juga pendapatan isi rumah untuk tempoh 6 bulan.
Tinjauan UoM pula hanya kepada 500 individu, namun disebabkan laporan oleh UoM adalah lebih awal berbanding CB, impaknya adalah lebih besar terhadap mata wang US dolar.
Personal Consumption Expenditures (PCE)
Data yang diterbitkan oleh Bureau of Economic Analysis (BEA) ini mengukur perbelanjaan peribadi pengguna ke atas barangan dan perkhidmatan di Amerika.
Perbelanjaan domestik negara memberi petunjuk signifikan kepada pertumbuhan dan kekuatan ekonomi.
Data ini juga menjadi salah satu komponen penting mengukur inflasi untuk dinilai Fed selain daripada data CPI.