Tumpuan pada sesi New York semalam terarah kepada terbitan data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) bersama data inflasi Kanada.
US dolar mengukuh pada awal data diterbitkan apabila bacaan menunjukkan kadar jualan pada September di AS meningkat kepada 0.7% lebih baik berbanding ramalan 0.3%. Namun sedikit perlahan berbanding bulan sebelumnya pada 0.8%.
Pengukuhan US dolar tidak bertahan lama apabila raja mata wang itu kembali didagangkan suram semula sehingga ke penutup sesi New York.
Hasil perbendaharaan 10-tahun AS masih menunjukkan peningkatan dengan mencapai ketinggian 4.86%, memberi idea kebarangkalian untuk US dolar boleh meningkat semula.
Sementara, indeks dolar DXY berlegar perlahan di atas paras 106.00 mata
Dolar Kanada turut alami penyusutan dengan bacaan inflasi bulanan Kanada yang diterbitkan menguncup -0.1% berbanding bulan sebelumnya 0.4%.
Beberapa data komponen ekonomi China akan diteliti pada sesi Asia pagi ini termasuk pengeluaran perindustrian dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Turut menjadi tumpuan bagi pelabur Asia adalah ucapan oleh Gabenor Reserve Bank of Australia (RBA) Michele Bullock dalam satu persidangan di Sydney pagi in.
Bullock menyatakan jika inflasi masih kekal berada di paras tinggi daripada yang dijangkakan, bank pusat akan bertindak.
Dolar Australia sedikit susut memulakan dagangan di awal sesi Asia pagi ini sementara dolar New Zealand kian terperosok lebih rendah.
Mata wang Yen kembali memberi kejutan dalam pasaran apabila papar pengukuhan mengejutkan di sesi Eropah semalam.
Dipercayai reaksi tersebut adalah berikutan laporan berkenaan Bank of Japan (BOJ) bakal mengemaskini semula unjuran inflasi untuk tahun fiskal 2023 dan 2024.
Namun, dalam tempoh yang singkat sahaja, Yen yang ketara mengukuh itu kembali melemah semula, melenyapkan keuntungan yang diraih pada awalnya itu.
Pelabur terus berhati-hati berikutan Yen semakin menghampiri semula paras ¥150.00 yang berkemungkinan akan mengundang bank pusat untuk campur tangan (intervention) dalam pasaran.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak dilihat kembali papar peningkatan semula sehingga ke pembukaan sesi Asia pagi ini.
Sementara dagangan emas kekal cemerlang di paras $1,930 dengan ramalan harga akan catatkan paras ketinggian terbaru lagi minggu ini.