“Fulamak harga memang naik kaw kaw tu, mesti pelabur LINK gembira sakan kan.”
Mata wang kripto Chainlink (LINK) nampaknya masih menunjukkan momentum kenaikan yang sangat kuat apabila harganya berjaya menggunung lagi 12% untuk mencecah lebih $11.50 daripada $9.90 pada 24 Oktober semalam.
Menurut penganalisis kripto Felix dalam akaun media sosial X miliknya, harga LINK berpotensi untuk menyaksikan kenaikan selanjutnya susulan aset digital tersebut sudah melepasi zon rintangannya pada $9.60.
Pendakian LINK itu mungkin juga disebabkan para pelabur besar yang berpusu-pusu mengumpul aset digital tersebut, ulas Felix sambil menambah bahawa LINK bernilai $9.92 juta telah dipindahkan dari bursa ke wallet apabila harganya berada pada $7.26.
Bukan itu sahaja, Felix turut menunjukkan terdapat on-chain yang teguh dalam ekosistem LINK pada masa ini.
Rangkaian LINK menyaksikan peningkatan dalam kedua-dua address aktif dan baharu, di mana data daripada IntoTheBlock mendedahkan bahawa bilangan address aktif pada rangkaian LINK naik berterusan seiring dengan kenaikan harga.
Sepanjang tujuh hari lalu, address aktif dan address baharu di rangkaian LINK masing-masing telah merekodkan lonjakan luar biasa sebanyak 112% serta 190% ekoran peningkatan dalam aktiviti urus niaga apabila LINK capai 12,000 transaksi pada 23 Oktober 2023.
Ditambah pula pelancaran Chainlink Staking v0.2 yang dijangka bakal berlaku sebelum akhir tahun ini turut merupakan pendorong untuk harga LINK mencanak lebih tinggi dan ramai percaya penyokongnya akan terus berkumpul untuk acara itu.
Sehingga berita ini ditulis, harga LINK melonjak sebanyak 11.21% pada paras $11.17 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $6 bilion seterusnya mencatatkan kenaikan 51.76% sepanjang minggu lepas.