Menjadi tumpuan pada sesi New York semalam adalah data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang telah memberi impak ketara terhadap pergerakan mata wang US dolar.
Bacaan tahunan indeks harga pengguna (CPI) AS meleset berbanding ramalan untuk turun ke paras 3.6%, sebaliknya masih kekal di paras 3.7% bagi bulan September selepas meningkat ke paras tersebut pada bulan sebelumnya.
Ini menyokong petunjuk hawkish Federal Reserve (Fed) sebelum ini bahawa langkah menaikkan kadar faedah akan diteruskan disebabkan paras inflasi yang masih belum capai sasaran.
Majoriti ahli mesyuarat FOMC sebelum ini juga turut melihat bakal ada sekurang-kurangnya sekali lagi kenaikan kadar pada baki mesyuarat di penghujung 2023 ini.
US dolar kukuh selepas data tersebut diterbitkan semalam dan berjaya menutup semula kerugian yang dicatatkan dari awal minggu.
Indeks dolar catat kenaikan harian terbesar sejak Mac dengan melonjak mencapai 106.60 mata sementara hasil perbendaharaan 10 tahun AS juga meningkat semula melepasi paras 4.70%.
Dengan situasi ini, jelas memberi tekanan semula kepada mata wang utama yang lain untuk didagangkan susut dalam pasaran.
Euro sebagai mata wang digelar anti-USD mengalami penyusutan ketara di sesi New York semalam. Tumpuan di penghujung minggu ini adalah kepada terbitan data pengeluaran perindustrian Eropah serta ucapan oleh Presiden ECB, Christine Lagarde di acara persidangan tahunan IMF dan World Bank.
Begitu juga Pound yang alami penurunan ketara semalam, dengan data pertumbuhan ekonomi UK gagal memacu pergerakan mata wang Britain itu.
Mata wang Asia Aussie dan Kiwi masing-masing terperosok jatuh ke paras terendah 1 minggu, melenyapkan keuntungan yang diraih sebelum ini.
Dagangan emas juga turut memberi petanda negatif terhdap corak pergerakan menaik harga sebelum ini. Pelabur akan bersedia untuk risiko kejatuhan harga emas selepas ini.