Menutup dagangan dengan prestasi lemah pada sesi terakhir minggu lalu, US dolar kekal berlegar di paras terendah 2 bulan berikutan petunjuk terbaru berkenaan dasar monetari bank pusat yang mempengaruhi reaksi pemain pasaran.
Berikutan reaksi data inflasi diterbitkan minggu lalu, US dolar telah mengalami kejatuhan mingguan terbesar sejak dagangan Mei.
Indeks dolar (DXY) telah susut sekitar 1.65% minggu lalu, menjadi rekod terburuk prestasinya sejak Julai.
Manakala hasil perbendaharaan 10-tahun Amerika Syarikat (AS) pula telah jatuh ke sekitar 4.38% minggu lalu, terendah 2 bulan.
Dengan data-data ekonomi AS terbaru yang diterbitkan khususnya pekerjaan dan inflasi, majoriti pasaran kini melihat hala tuju dasar Federal Reserve (Fed) ke arah pelonggaran dasar.
Tiada jangkaan untuk kenaikan kadar faedah akan dilaksanakan pada mesyuarat FOMC Disember yang terakhir untuk 2023. Minit mesyuarat FOMC minggu ini akan diteliti.
Sentimen pasaran yang dilihat pulih juga turut memberi kesan penyusutan kepada US dolar sementara pasaran Wall Street catat peningkatan untuk 3 minggu berturut-turut, mencapai praas tertinggi dalam tempoh 8 minggu.
Antara mata wang yang dilihat mengambil manfaat pada situasi ini adalah Euro yang berjaya meningkat ke paras tertinggi terbaru 11 minggu berbanding US dolar.
Data-data tinjauan ekonomi Eropah pada minggu ini berserta ucapan oleh Presiden ECB Christine Lagarde akan diperhatikan yang bakal memacu pergerakan Euro.
Perkembangan pasaran komoditi, pemulihan dipaparkan oleh harga minyak mentah global yang kembali melantun setelah jatuh ke paras terendah terbaru sejak Julai.
Minyak WTI AS melantun dari paras $72.30 ke $76.00 setong, manakala minyak Brent pulih semula dari $76.70 ke sekitar $80.70 setong.
Dagangan emas pula pamer prestasi cemerlang minggu lalu didorong oleh penurunan pada hasil perbendaharaan AS yang melemahkan US dolar.
Harga emas pulih semula dan semakin menghampiri paras $2,000 setelah kejatuhan 2 minggu berturut-turut sebelum ini.