Setelah berdepan pelbagai kecaman daripada ahli Parti Konservatif, Perdana Menteri UK Rishi Sunak tegas mengatakan ‘era keemasan’ dalam hubungannya dengan China telah berakhir.
Berucap dalam dasar luar negara yang pertama, Sunak mengatakan hubungan ekonomi dengan Beijing sebelum ini adalah ‘naif’ dan menekankan bahawa pendekatan UK terhadap China perlu berubah.
Ujar beliau lagi, Beijing secara sengaja bersaing untuk mendapatkan pengaruh global dengan menggunakan semua alat kuasa negaranya.
Walaupun begitu, Sunak tidak menolak mengenai kepentingan China dalam kestabilan ekonomi global atau isu seperti perubahan iklim.
Sunak berkata di bawah kepimpinannya Britain tidak akan memilih ‘status quo’ dan akan menghadapi pesaing antarabangsa bukan dengan retorik besar tetapi dengan pragmatisme yang mantap.
Terdahulu, Sunak telah berdepan kritikan daripada beberapa pihak dalam partinya yang menganggap bahawa beliau bersikap kurang tegas terhadap China berbanding pendahulunya Liz Truss.
Perdana Menteri itu sepatutnya bertemu Presiden Xi Jinping pada sidang kemuncak G20 baru-baru ini namun pertemuan tersebut gagal.