Facebook Bakal Kehilangan WhatsApp dan Instagram?

1,227

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan lebih 45 peguam negeri bertindak menyaman Facebook selepas mendakwa firma berkenaan menggunakan ‘strategi haram’ untuk membeli syarikat pesaing dan menyekat persaingan.

Tuntutan undang-undang tersebut yang difailkan oleh Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) dan 45 negeri itu memfokuskan kepada pembelian Facebook ke atas Instagram, WhatsApp dan undang-undang berhubung pembangun perisian.

Pihak berkuasa AS mendakwa Facebook menggunakan pendekatan ‘beli atau kuburkan’ terhadap calon pesaing, menjejaskan pesaing dan pengguna yang hilang kawalan terhadap data mereka sendiri untuk menyokong pendapatan iklan firma itu.

“Selama hampir sedekad, Facebook menggunakan pengaruh dan kuasa monopolinya untuk menghancurkan pesaing yang lebih kecil dan mematikan persaingan dengan mengorbankan pengguna setiap hari,” kata Peguam Negara New York, Letitia James yang memimpin tindakan undang-undang.

Pihak berkuasa AS meminta mahkamah mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman yang berat terhadap firma media sosial.

Bagaimanapun, Facebook memaklumkan perjanjian yang dibuat bersama syarikat lain telah diluluskan oleh pihak berkuasa AS beberapa tahun lalu.

“Kerajaan sekarang ingin perubahan, memberi amaran keras terhadap perniagaan Amerika bahawa sebarang transaksi penjualan tiada yang muktamad,” kata peguam kepada Facebook, Jennifer Newstead.

Tambah beliau, Facebook telah melaburkan jutaan dolar untuk menjadikan Instagram dan WhatsApp berjaya dan akan mempertahankan syarikat itu dengan bersungguh-sungguh.

“Undang-undang antimonopoli wujud untuk melindungi pengguna dan mempromosikan inovasi, bukan untuk menghukum perniagaan yang berjaya,” kata Facebook menerusi satu kenyataan dikeluarkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat