Facebook Rancang Pembaharuan Terhadap Matawang Kripto Libra!

245

Facebook Inc. dan rakan kongsinya sedang merancang untuk merangka semula projek matawang kripto, Libra. Pembaharuan semula itu akan membolehkan rangkaian tersebut menerima beberapa syiling termasuk yang dikeluarkan oleh bank pusat sebagai salah satu usaha pengawalseliaan global dan membina semula momentum projek tersebut.

Semasa Facebook melancarkan matawang tersebut, ianya bertujuan untuk mewujudkan satu-satunya matawang digital global. Oleh itu, sesiapa sahaja termasuk individu yang tidak mempunyai akaun bank boleh mengirim wang ke mana sahaja dengan menggunakan kos yang rendah bahkan mudah seperti menghantar pesanan ringkas.

8 bulan kemudian, idea tersebut telah dikritik dan menerima tentangan daripada pelbagai pihak. Oleh yang demikian, Facebook dan Libra Association dikhabarkan bakal melancarkan semula Libra kerana misi mereka untuk menjadi satu-satunya matawang digital global masih belum tercapai.

Akan tetapi, jika ianya diubahsuai menjadi rangkaian pembayaran lebih daripada 1 matawang kripto, mungkin rakyat Amerika Syarikat tidak dapat membezakannya dengan sistem pembayaran sedia ada yang dimiliki oleh PayPal Holdings Inc. atau sebagainya.

Namun begitu, Facebook dan Libra Association enggan mengulas berkenaan isu tersebut.

Untuk pengetahuan semua, sejak Jun tahun lalu, Libra menjadi salah satu isu hangat di pasaran kewangan kerana berhadapan dengan pelbagai kritikan terutamanya dalam pengawalseliaan dan risikonya di peringkat global. Hal ini demikian kerana penggubal undang-undang Amerika Syarikat mempersoalkan kemampuan Facebook untuk menguruskan rangkaian kewangan tersebut khususnya perlindungan data pengguna.

Berikutan dengan pelancaran projek Libra, beberapa buah bank pusat seperti Bank Of England dan European Central Bank telah merangka matawang kripto mereka sendiri.

Meskipun beberapa orang pegawai Facebook dan Libra Association telah mengembara ke serata dunia dan mengadakan seminar berkaitan dengan rangkaian Libra, akan tetapi ianya masih menerima tentangan hebat daripada pelbagai pihak. Tanpa mengenal erti putus asa, kedua-dua pihak tersebut khabarnya bakal melancarkan semula matawang tersebut pada tahun ini bahkan teknologinya sudah pun diuji.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat