Farm Fresh Tetapkan Harga IPO RM1.35 Bagi Menjana RM1 Bilion

2,284

‘Ramai ke pelabur yang sedang nantikan saham susu segar ini?’

Farm Fresh Bhd telah meletakkan harga tawaran awam permulaan (IPO) pada RM1.35 per saham dalam usaha untuk menjana modal sebanyak RM1 bilion.

Syarikat pengeluar produk tenusu tersebut berkata selepas penyenaraian pada 22 Mac nanti ia dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM2.5 bilion.

Menurut pengiraan, harga IPO tersebut merupakan tetapan harga terbesar dalam Malaysia sejak Jun 2021, yang libatkan tawaran penjualan sehingga 520.2 juta saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 223 juta saham baru.

Farm Fresh turut menambah bahawa ia telah memperoleh sokongan beberapa pelabur asas antaranya:

  • Affin Hwang Asset Management
  • AIA
  • Franklin Templeton Asset Management (Malaysia)
  • Great Eastern Life Assurance (Malaysia)
  • Hong Leong Asset Management
  • JPMorgan Asset Management (Singapore)
  • KAF Investment Funds
  • Kenanga Investors
  • Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)
  • Lembaga Tabung Haji

Ia merangkumi lebih kurang 80% daripada bahagian tawaran institusi di bawah IPOnya.

Di samping itu, Farm Fresh menyatakan RM301 juta daripada hasil IPO tersebut akan digunakan bagi membina hab pembuatan, ladang tenusu dan kemudahan pemprosesan bersepadu di Malaysia untuk mengembangkan pengeluaran di Australia serta pengembangan serantau.

Dalam pada itu, laporan kewangan Farm Fresh bagi 2021 mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM36.2 juta.

Ia naik pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 14.9% berbanding keuntungan lepas cukai RM27.4 juta pada tahun kewangan 2019.

Selain itu, ia turut menyasarkan pembayaran dividen 25% daripada perolehan tahunannya.

Sebagai rekod, dalam tempoh 9 bulan pertama 2021, Farm Fresh adalah pengeluar ke-2 terbesar dalam kategori susu sedia diminum yang merangkumi 18% penguasaan pasaran.

Ia juga peneraju penguasaan 41% pasaran dalam segmen susu sejuk sedia diminum dan ke-3 terbesar dalam kategori yogurt.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat