Fed Sah Akan Mula ‘Tapering’! Apa Kata Powell Mengenai Kadar Faedah?

847

Menepati jangkaan pasaran secara meluas, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akhirnya mengumumkan untuk mula mengurangkan pembelian bonnya sebanyak $15 bilion sebulan.

Ini termasuk pengurangan dalam kadar bulanan pembelian asetnya sebanyak $10 bilion untuk sekuriti Perbendaharaan dan $5 bilion untuk sekuriti bersandarkan gadai janji bermula akhir bulan ini. Dengan kadar penurunan ini, pembelian tersebut mungkin berakhir pada pertengahan 2022.

Dalam pada itu, Federal Reserve (Fed) AS turut menambah mengenai kesediaannya untuk menyesuaikan kadar pembelian seiring dengan perubahan dalam prospek ekonomi.

Berdasarkan situasi semasa, aktiviti ekonomi dan pekerjaan dilihat terus kukuh, menurut Fed dalam satu kenyataan susulan. Bagaimanapun, peningkatan kes Covid-19 pada musim panas telah memperlahankan pemulihan dalam sektor yang terjejas teruk disebabkan wabak itu. Buat masa ini, hala tuju pemulihan ekonomi terus bergantung kepada bagaimana coronavirus dibendung.

Apabila berbicara mengenai inflasi, Pengerusi Jerome Powell mengatakan keseimbangan penawaran dan permintaan yang berkaitan dengan pandemik serta pembukaan semula ekonomi telah mendorong kenaikan harga yang besar dalam beberapa sektor.

Walaupun begitu, beliau dilihat masih mempunyai pendirian yang sama mengenai inflasi, dengan mengatakan bahawa tekanan sedemikian dijangka hanya bersifat sementara.

Selain itu, Powell turut mengatakan pandangannya mengenai kenaikan kadar faedah. Menurut beliau, bank pusat masih boleh ‘bersabar’ untuk menaikkan kadar buat masa ini, tetapi mereka tidak akan teragak-agak untuk bertindak sekiranya inflasi terus meningkat tinggi.

Secara keseluruhannya, Fed masih lagi mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada julat sasaran 0%-0.25% dan mengurangkan pembelian bon bulanannya yang bernilai $120 bilion pada kadar $15 bilion sebulan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat