Firma China Bakal Ditendang Keluar

684

Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk menyingkirkan firma-firma China daripada bursa saham AS sekiranya mereka tidak mematuhi sepenuhnya peraturan pengauditan negara itu.

RUU terbabit diluluskan oleh Dewan Perwakilan dengan sebulat suara, selepas Senat meluluskan rang berkenaan pada Mei lalu.

Di bawah RUU terbabit, syarikat-syarikat asing tidak dibenarkan untuk disenaraikan di mana-mana bursa saham AS sekiranya mereka gagal untuk mematuhi audit Lembaga Pengawasan Perakaunan Awam AS dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

Meskipun undang-undang itu tertakluk kepada syarikat-syarikat dari mana-mana negara, pihak yang menyokong rang undang-undang tersebut berniat untuk menyasarkan firma China yang tersenarai di AS seperti Alibaba, Pinduoduo Inc dan syarikat minyak gergasi, PetroChina Co Ltd.

Selain itu, syarikat-syarikat awam juga perlu mengemukakan bukti sama ada mereka dimiliki atau dikawal oleh kerajaan asing.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Senator Republikan, John Kennedy, pelabur Amerika telah ‘ditipu’ selepas melabur dalam firma-firma China yang dilihat sah dan tidak diletakkan standard yang sama dengan syarikat awam lain.

Jelas Kennedy, China menggunakan pasaran saham AS untuk mengeksploitasi pelabur Amerika.

Dalam pada itu, Persatuan Sekuriti Amerika memuji RUU itu dan menyifatkan langkah berkenaan adalah wajar bagi melindungi rakyat Amerika daripada syarikat-syarikat ‘penipu’ yang dikendalikan oleh Parti Komunis China.

Terdahulu, jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying menegaskan dasar bersifat diskriminasi itu secara jelasnya ‘menyerang’ firma China.

“Daripada meletakkan pelbagai halangan, kami berharap AS dapat menyediakan persekitaran yang adil dan tiada diskriminasi bagi syarikat asing untuk melabur serta beroperasi di AS,” kata Chunying menerusi sidang media.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat