Goldman Sachs tidak teragak-agak untuk meluaskan lagi pendedahan dalam sektor kripto melalui pelbagai bentuk apabila dilaporkan telah mengemukakan pemfailan kepada Securities and Exchange Commission (SEC) untuk menubuhkan Innovate DeFi and Blockchain Equity ETF semalam.
Firma perbankan itu mahu membuat pelaburan sekurang-kurangnya 80% daripada keseluruhan asetnya ke dalam sekuriti termasuk indeks yang didasarkan kepada ETF (Exchange Traded Fund) tersebut.
Pemfailan tersebut ada menekankan bahawa tindakan tersebut bertujuan untuk memberikan hasil pelaburan yang sesuai dengan perlaksanaan Solactive Decentralized Finance dan Blockchain Index.
Goldman Sachs mempertimbangkan beberapa pasaran yang sesuai termasuk: Australia, Kanada, Perancis, Jerman, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Switzerland, Netherlands, United Kingdom (UK), dan Amerika Syarikat (AS).
Keputusan yang diambil berlaku seminggu selepas Grayscale melancarkan dana khas untuk pendedahan pelabur terhadap kewangan desentralisasi (DeFi).
Setakat ini SEC dikatakan sedang meneliti lebih puluhan ETF Bitcoin dan didapati beberapa firma pengurusan dana masih membuat pemfailan yang berterusan untuk pengesahan agensi itu.
Misalnya pada minggu lepas, firma pengurusan dana Global X telah menghantar permohonan ETF Bitcoin, seminggu selepas pelancaran ETF blockchain.
Manakala firma penasihat pelaburan, Viridi Funds telah melancarkan sebuah ETF yang menfokuskan kepada peruntukan modal untuk pelombong matawang kripto menggunakan lebih banyak tenaga diperbaharui.