Harga Minyak Mentah Kekal Rendah, Keputusan OPEC Masih Tidak Mencukupi?

311

Minyak mentah kekal diniagakan rendah walaupun kesepakatan dalam perbincangan pemotongan pengeluaran minyak Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya telah berjaya dicapai pada Ahad lalu.

Niaga hadapan minyak mentah Brent kembali mempamerkan peningkatan selepas susut lebih 10% pada sesi sebelumnya, untuk diniagakan pada $29.98 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula didagangkan pada $20.62 setong.

Kebimbangan terhadap kekurangan permintaan global kekal menjadi isu utama kepada dagangan minyak mentah memandangkan kebanyakkan negara masih melaksanakan perintah kawalan pergerakan yang menyebabkan penutupan operasi beberapa sektor ekonomi, terutamanya penerbangan.

Perjanjian tersebut dijangka akan memberi kesan kepada 10% pengeluaran global, di mana Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman menyatakan kesediaan negara itu untuk menurunkan lebih banyak output jika diperlukan.

Sementara itu, pegawai dan sumber dari OPEC memberi indikasi bahawa Institut Tenaga Antarabangsa (IEA), akan mengumumkan pembelian beberapa juta tong minyak mentah untuk menyokong pemotongan pengeluaran oleh OPEC+.

Selain itu, Institut Petroleum Amerika (API) melaporkan bekalan minyak mentah AS meningkat sebanyak 13.1 juta tong pada minggu lepas kepada 486.9 juta tong, melebihi jangkaan pasaran untuk kenaikan 11.7 juta tong.

Turut menambah tekanan kepada sentimen adalah kenyataan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menjangkakan ekonomi global akan mengalami penguncupan sebanyak 3% pada tahun ini dan mungkin berdepan dengan krisis kewangan yang paling buruk sejak 1930.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat