Junaman Bursa Malaysia Minggu Lalu: Ini Sebab & Kesannya Kepada Rakyat Marhaen

1,199

Pelabur antarabangsa menjual saham tempatan sehingga RM1.75 billion minggu lalu berikutan kebimbangan terhadap kejatuhan di Wallstreet (pasaran saham Amerika). Dengan penjualan sehingga hampir RM2 billion, bursa Malaysia mengalami kerugian 92% daripada kemasukan pelaburan asing yang berjumlah RM1.92 billion sejak tiga minggu lepas. Ini dilaporkan sendiri oleh bahagian penyelidikan bank pelaburan MIDF.

Dalam laporan aliran modal (pelaburan) MIDF hari ini, penganalisis MIDF Adam Rahim berkata ini adalah minggu pertama kejatuhan sejak tujuh minggu lepas dan merupakan kejatuhan terbesar sejak Ogos 2013. Pelabur asing adalah penjual terbanyak dalam kesemua lima hari dagangan minggu lalu.

Selasa adalah kerugian terbesar kepada Bursa Malaysia dengan RM868.6 juta dana asing di bawa keluar. Ia juga adalah kerugian terbesar dari segi pelaburan asing dalam pasaran saham sejak empat tahun yang lalu. FBM Indeks Saham Kuala Lumpur mengalami kejatuhan sehingga 2.19% pada hari tersebut yang merupakan kejatuhan terbesar sejak Disember 2014 yang membawa indeks saham ke paras terendah 23 hari yang lalu.

Kejatuhan di Bursa Malaysia adalah berikutan kejatuhan di Wallstreet pada sesi dagangan minggu lalu, bahkan kejatuhan di Amerika Syarikat ini menyebabkan keseluruhan pasaran saham global juga menerima tempias yang sama.

Selepas daripada kejatuhan Bursa Malaysia pada Selasa, ia sekali lagi mencatat kerugian besar pada Jumaat lalu berjumlah RM323.3 juta apabila indeks Dow Jones jatuh 1000 mata di Wallstreet.

Kesan Kepada Kita Rakyat Marhaen

Dengan kejatuhan besar pasaran saham global minggu lalu, ramai pelabur dilihat masih berhati-hati dengan keadaan semasa pasaran. Ia bukan lah satu kejatuhan yang biasa tetapi ia adalah satu kejatuhan yang terbesar sejak beberapa tahun yang lalu. Namun, ramai penganalisis mengatakan ia adalah pergerakan biasa dan hanyalah satu pembetulan harga (correction).

Bagi kita sebagai rakyat biasa, ia tidaklah secara langsung memberi kesan kepada rakyat marhaen. Kejatuhan ini sudah tentu akan merugikan pelabur-pelabur besar terlebih dahulu, tetapi jika ia berterusan, secara tidak langsung ia akan memberi kesan negatif kepada kita rakyat biasa jika pasaran terus mengalami kejatuhan sehingga menyebabkan kemelesetan ekonomi.

Perkara utama yang akan menghimpit rakyat biasa semasa kemelesetan ekonomi adalah pemberhentian kerja dan juga tiada peluang pekerjaan. Ini menjadikan ramai orang kehilangan punca pendapatan disebabkan aktiviti ekonomi yang semakin perlahan di mana perniagaan juga sukar untuk bertahan dalam tempoh ini.

Bukan niat untuk menjadikan anda panik, tetapi perhatikan pergerakan saham ini terutamanya indeks saham di Amerika Syarikat, kerana kejatuhan biasanya bermula dari sana dan ini terbukti apabila Wallstreet jatuh minggu lalu, pasaran saham global turut terkesan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat