Kadar Pengangguran Australia Melonjak Pada Paras Tertinggi 5 Tahun

262

Data tumpuan sesi Asia hari ini memperlihatkan lebih daripada setengah juta rakyat Australia telah kehilangan pekerjaan dalam masa hanya satu bulan, menurut angka rasmi yang diterbitkan Biro Perangkaan Australia (ABS).

Menurut ABS, sejumlah 594,300 orang telah kehilangan pekerjaan pada bulan April daripada 7,000 pertambahan yang direkodkan pada Mac, dan tersasar daripada jangkaan pasaran untuk merosot sebanyak 575,000 pekerjaan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengangguran sebanyak 12.42 juta.

Sementara itu, kadar pengangguran Australia pada bulan April pula melonjak kepada 6.2% daripada 5.2% pada bulan sebelumnya. Bagaimanapun, bacaan yang dicatatkan adalah lebih baik daripada unjuran pasaran.

Ini merupakan kadar pengangguran tertinggi yang pernah direkodkan sejak September 2015, didorong oleh penutupan aktiviti ekonomi susulan perintah berkurung yang dilaksanakan oleh kerajaan bermula pertengahan Mac.

Tambahan daripada itu, kadar penyertaan, yang mengukur jumlah orang yang bekerja dan mencari pekerjaan, jatuh 2.4% kepada 63.5%, iaitu bacaan terendah yang pernah dicatatkan sejak September 2004.

Susulan daripada penerbitan data pekerjaan Australia, Perdana Menteri Scott Morrison memberitahu bahawa ekonomi perlu bersedia untuk berdepan dengan laporan-laporan yang lebih sukar pada masa akan datang.

Lebih daripada 6 juta rakyat Australia kini menerima subsidi upah di bawah program JobKeeper, sementara lebih daripada 1.6 juta pula telah memperoleh faedah pengangguran daripada JobSeeker.

Apabila ditanya sama ada JobKeeper akan diubah berdasarkan angka pengangguran terbaru, PM Morrison memberitahu bahawa ia akan diteruskan oleh kerajaan kerana ia adalah program berdasarkan permintaan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat