Kelembapan Pertumbuhan Ekonomi China Beri Kesan Kepada Dagangan Komoditi?

248

Harga minyak mentah pada dagangan sesi Asia menyusut susulan China yang merupakan pengimport minyak terbesar dunia, mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lemah dalam tempoh hampir tiga dekad, dipengaruhi oleh pertikaian perdagangan dengan Amerika Syarikat.

Penanda aras global niaga hadapan minyak mentah Brent menyusut sebanyak 0.6% kepada $59.57 manakala niaga hadapan WTI AS turun 0.2% kepada $53.81 setong.

Pertumbuhan ekonomi (GDP) China pada suku ketiga jatuh kepada 6% dalam tempoh tahun ke tahun iaitu merupakan kadar paling rendah hampir tiga dekad dan turut tersasar daripada jangkaan pada 6.1%, didorong oleh kelemahan pengeluaran kilang dan permintaan domestik yang lembap.

Selain itu, peningkatan dalam inventori minyak mentah AS pada minggu lepas sebanyak 9.3 juta tong daripada bacaan sebelum pada 2.9 juta tong, juga turut mendorong kepada pergerakan harga minyak hari ini.

Di sisi lain, harga emas juga turut mencatat kemerosotan memandangkan selera terhadap risiko bertambah selepas UK dan Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan perjanjian Brexit dapat dicapai bagaimanapun kebimbangan terhadap perjanjian itu masih berterusan memandangkan ia juga perlu mendapat kelulusan daripada Parlimen Britain.

Walaupun dengan kejatuhan dalam saham China berikutan data GDP China yang lemah, logam kuning ini tidak berjaya untuk memperoleh manfaat daripada laporan itu.

Kelemahan data pertumbuhan telah membuktikan bahawa pertikaian perdagangannya dengan AS telah memberi kesan kepada ekonomi negara. Sehubungan itu, China akan terus berusaha untuk mencapai kesepakatan dengan AS.

Rundingan perdagangan AS dan China masih menjadi tumpuan pasaran dengan kenyataan daripada China yang mahukan AS untuk membatalkan tarif baru di samping turut mengharapkan persetujuan terhadap perjanjian tersebut tercapai dengan secepatnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat