Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya termasuk Rusia, OPEC+ telah bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran minyak mentah sebanyak 648,000 tong sehari pada bulan Julai dan Ogos.
Langkah ini dibuat bagi mengimbangi pengurangan pengeluaran dari Rusia susulan sekatan yang dikenakan ke atasnya oleh negara-negara Barat, dan yang terbaru adalah Kesatuan Eropah (EU).
Keputusan tersebut telah disambut baik oleh pentadbiran Presiden Joe Biden yang menekankan peranan Arab Saudi sebagai pengeluar terbesar kumpulan itu dalam mencapai konsesus.
Harga yang menyusut susulan pengumuman tersebut bagaimanapun kembali melantun selepas dilaporkan bahawa bekalan minyak mentah Amerika Syarikat jatuh lebih banyak daripada dijangkakan pada minggu lalu.
Musim pemanduan di AS telah mendorong kejatuhan ketara dalam inventori minyak mentah sebanyak 5.1 juta tong berbanding jangkaan untuk menurun 1.3 juta tong sahaja, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).
Angka yang dicatatkan ini telah membantu mengimbangi kekhuatiran pelabur terhadap kemungkinan lebih banyak pengeluaran minyak mentah oleh OPEC+ akan mengalir ke pasaran.
Sementara itu, Jawatankuasa Perwakilan Tetap EU akhirnya menerima pakai pakej sekatan keenam terhadap Rusia pada Khamis, termasuk mengharamkan sebahagian minyak dan larangan Sberbank daripada sistem pembayaran antarabangsa SWIFT. Hal ini mendorong harga minyak kekal lebih kuat menjelang hujung minggu.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan stabil pada $117 setong, manakala WTI Amerika Syarikat pula menguat pada sekitar harga $116 setong.