Khazanah Jual Kepentingan Dalam Prince Court Kepada IHH

323

Khazanah Nasional Bhd dilaporkan menjual pegangan saham Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) dengan nilai RM1.02 bilion secara tunai kepada IHH Healthcare Bhd (IHH) selepas setahun membelinya daripada Petronas.

Perjanjian pembelian saham bersyarat antara anak syarikat milik penuh Khazanah, Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd (PMV) dan Pantai Holding Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya oleh IHH telah ditandatangani, dengan pemerolehan saham yang terdiri daripada 100 juta saham serta 35,176 saham keutamaan boleh tebus.

Petronas yang memiliki pegangan ke atas PCMC telah mengalami kerugian tahunan sebelum Khazanah mengambil alih hospital tersebut dengan tujuan untuk membangunkan sektor perkhidmatan kesihatan di Malaysia dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi pilihan untuk penjagaan kesihatan berkualiti di rantau ini.

Khazanah memutuskan untuk melepaskan 100% kepentingannya selaras dengan perubahan mandat Khazanah iaitu untuk menumpukan kepada pertumbuhan aset kewangan dan mempelbagaikan sumber pendapatan negara di samping memegang aset yang membawa manfaat ekonomi jangka panjang.

Sehingga 31 Disember 2018, PCMC mencatatkan keuntungan bersih RM51 juta, manakala aset bersihnya berjumlah RM486.1 juta.

Pendapatan PCMC meningkat kepada RM260 juta dalam tahun kewangan 2018 daripada RM211.3 juta dalam tahun kewangan 2016, mewakili kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) 10.93%, terutamanya disebabkan oleh rundingan semula kontrak pembekal dan mengawal perbelanjaan pentadbiran.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan meningkat kepada RM44 juta bagi tahun kewangan 2018 daripada RM25.4 juta dalam tahun kewangan 2016, mewakili CAGR sebanyak 31.62%.

Terdahulu, Khazanah telah menjual 16% saham dalam IHH kepada Japan’s Mitsui & Co Ltd bernilai RM8.42 bilion sekali gus menjadikan Mitsui sebagai pemegang saham terbesar IHH dengan 32.9% saham manakala pegangan Khazanah berkurang kepada 26.05%. Bagaimanapun, Khazanah kekal menjadi salah satu pemegang saham utama.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat