Makin Hangat! Inflasi Malaysia Lonjak 3.4% Pada Jun

801

Kehangatan inflasi terus dirasai di Malaysia selepas data yang baharu sahaja dikeluarkan menunjukkan harga pengguna melonjak lebih tinggi pada bulan Jun.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), indeks harga pengguna (CPI) tahunan Malaysia dilaporkan meningkat kepada 3.4% pada bulan lalu daripada 2.8% yang dicatatkan pada Mei.

Angka yang dicatatkan juga melebihi jangkaan untuk meningkat kepada 3.1% dan merupakan kenaikan paling tinggi dicatatkan dalam setahun.

Ketua Perangkaan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin memberitahu bahawa harga makanan kekal menjadi faktor utama kepada kenaikan ini dengan meningkat 6.1% pada bulan Jun daripada 5.2% sebelumnya.

Sementara itu, inflasi teras (tidak termasuk harga makanan segar yang tidak menentu dan subsidi kerajaan) meningkat kepada 3.0%.

Berikut merupakan perincian lanjut mengenai inflasi pada bulan Jun:

  • Sektor pengangkutan lonjak 5.4% berbanding 3.9%
  • Sektor restoran dan hotel tambah 5.0% berbanding 3.7%
  • Sektor penjagaan perumahan, perabot dan perkakasan perumahan naik 3.4% berbanding 2.9%
  • Sektor barangan dan perkhidmatan lain meningkat 2.2% berbanding 1.9%
  • Sektor rekreasi dan budaya tokok 2.2% berbanding 1.8%
  • Sektor perumahan, air, elektrik, gas dan bahan bakar 1.2% – tidak berubah
  • Sektor pendidikan naik 1.1% berbanding 1.0%

Tambahan daripada itu, inflasi juga dilihat meningkat dalam suku kedua 2022 kepada 2.8% dan menokok 2.5% dalam separuh pertama tahun ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat