McDonald’s Keluar Rusia, Tiada Lagi Happy Meal Buat Anak-Anak Moscow

611

‘Tak dapat dah beli Happy Meal and main dengan permainan dia.’

Sudah 3 dekad sejak restoran makanan segera popular Amerika Syarikat (AS), McDonald’s bertapak di Rusia, kini segala-galanya berakhir apabila secara rasmi syarikat tersebut meninggalkan negara itu.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan syarikat telah mengesahkan perkara tersebut, yang sebelum ini hanya memboikot Rusia atas dasar kemanusiaan.

Terang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) McDonald’s, Chris Kempczinski, keputusan ini telah diambil atas dasar kemanusiaan walaupun akan memberi kesan mendalam kepada puluhan ribu rakyat yang digajikan serta akses kepada makanan.

Tambahnya, syarikat tidak mahu ‘Golden Arches’ menjadi simbol kepada penyokongan terhadap keganasan yang dilakukan Rusia.

Selain itu, McDonald’s turut mengumumkan bahawa kesemua 850 kedainya diseluruh Rusia akan dijual kepada pembeli tempatan.

Seperti yang diketahui bahawa Rusia sedang membina McDonald’s versi mereka sendiri dengan memberi peluang kepada peniaga tempatan membuka perniagaan mereka sendiri.

Ia termasuk juga penjenamaan semula oleh wakil tempatan terhadap nama, perkhidmatan dan menunya.

Dalam pada itu, McDonald’s dikatakan telah memperuntukkan penghapusan caj sehingga $1.4 bilion untuk menampung pengeluaran daripada melabur di Rusia.

Mengenang kisah McDonald’s di Rusia, restoran makanan segera tersebut pertama kali dibuka di Pushkin Square Rusia pada 1990.

Semasa dibuka, kerajaan Rusia masih dibawah tampuk pemerintahan USSR dan kemasukannya adalah simbolik kepada pendamaian Perang Dingin (Cold War).

Namun, selepas tindakan Rusia menyerang Ukraine sehingga mengorbankan beribu nyawa yang tidak berdosa, ia secara tidak langsung bertentangan dengan simbolik yang dipegangkan McDonald’s selama 30 tahun ini.

Pada sisi berbeza, tindakan McDonald’s mungkin akan menyemarakkan ‘api’ bagi syarikat-syarikat lain untuk keluar terus daripada pasaran Rusia.

Antara syarikat yang masih terikat dengan Rusia namun memboikotnya adalah Starbucks, Coca Cola, Levi’s dan Apple.

Pun begitu masih ada syarikat yang dilihat enggan keluar dari Rusia atas alasan tersendiri seperti Burger King dan Marks and Spencer.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat