Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kadar inflasi tahunan Kanada mencatatkan kenaikan kepada 2.4% pada Mac 2026, didorong oleh gangguan bekalan minyak mentah global akibat konflik di Timur Tengah. Statistik Kanada melaporkan bahawa kenaikan bulanan sebanyak 0.9% adalah yang paling tinggi dalam tempoh lebih setahun, mencerminkan kesan langsung penutupan laluan perdagangan di Selat Hormuz terhadap harga tenaga domestik.
Harga petrol di pam menjadi faktor dominan dengan lonjakan bulanan sebanyak 21.2%. Walaupun angka tahunan sedikit diredakan oleh pemansuhan cukai karbon pada April 2025, kenaikan mendadak kos bahan api tetap memberi kesan rantaian kepada sektor pengangkutan. Kos pengangkutan secara keseluruhan meningkat 3.7% dari tahun-ke-tahun, menambah beban kepada rantaian bekalan barangan pengguna.
Sektor makanan turut mengalami tekanan harga yang signifikan, di mana harga barangan dapur meningkat 4.4% secara tahunan. Sayur-sayuran segar mencatatkan kenaikan luar biasa sebanyak 7.8%, tahap tertinggi sejak hampir tiga tahun lalu. Gabungan kenaikan kos tenaga dan makanan ini telah meletakkan inflasi utama kembali ke tahap yang dilihat pada akhir tahun lepas, selepas tempoh kestabilan yang panjang.
Bank of Canada (BoC) kekal tenang menghadapi situasi ini, dengan Gabenor Tiff Macklem menyifatkan lonjakan ini sebagai fenomena jangka pendek. Data inflasi teras seperti CPI-median (2.3%) dan CPI-trim (2.2%) menunjukkan trend dasar inflasi masih berada dalam julat sasaran bank pusat iaitu 1-3%. Ini secara tidak langsung memberikan ruang kepada BoC untuk tidak terburu-buru menaikkan kadar faedah dalam masa terdekat.
Reaksi pasaran terhadap data ini adalah sederhana, dengan dolar Kanada mengukuh sedikit berbanding dolar AS. Pelabur kini meramalkan bank pusat akan mengekalkan kadar faedah sedia ada bagi bulan April. Waima begitu pasaran mula menetapkan kebarangkalian kemungkinan kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas menjelang Disember 2026 sekiranya tekanan harga terus berlarutan.



















































