Dalam laporan terbaru, kebanyakan firma kripto utama di Amerika Syarikat (AS) menentang keras cadangan peraturan yang dikemukakan oleh Rangkaian Penguatkuasaan Jenayah Kewangan (FinCEN).
FinCEN telah mengusulkan peraturan baru, memaksa perniagaan yang menjalankan operasi kripto mengumpulkan data berkaitan identiti pihak berlawanan bukan pelanggan (non-customer counterparties).
CEO firma perkhidmatan kewangan Square, Jack Dorsey menjelaskan tindakan tersebut sebenarnya telah melebihi apa yang diperlukan bagi transaksi tunai.
“Tuntutan tersebut memaksa pengumpulan data yang tidak boleh dipercayai mengenai individu yang tidak memilih perkhidmatan kami atau mendaftar sebagai pelanggan kami.”
Square menjangkakan jika peraturan tersebut diluluskan, pengguna kripto negara itu akan ditendang di bawah perkhidmatan kripto tidak dikawal selia yang berpusat di luar AS.
Jelas Dorsey lagi, FinCEN akan semakin menjauh dari urus niaga matawang kripto berbanding ketika ini.
Sama seperti Square, platform pertukaran kripto, Kraken mengkritik usul FinCEN, mendakwa pihak berkuasa itu gagal mengemukakan kos bagi pengenalan peraturan tersebut termasuk bersetuju bahawa kelulusan undang-undang tersebut akan menyingkirkan pengguna dari platform yang sah.
Coinbase awal-awal lagi telah menghantar permohonan kepada Jabatan Perbendaharaan AS, meminta agar cadangan tersebut dibatalkan kerana dilihat sebagai “pencerobohan privasi pengguna” dan gagal membawa manfaat kepada awam.