Negeri Victoria, Australia Umum Lockdown Di 10 Kawasan, AUD Menjunam

748

Perdana Menteri Victoria, Daniel Andrews hari ini mengumumkan untuk mengenakan sekatan di 10 kawasan panas di bandar Melbourne untuk membendung penularan Covid-19 yang saban hari mencatatkan peningkatan.

Pasangan matawang dolar Aussie berbanding US dolar yang meraih manfaat daripada bacaan data PMI pembuatan China yang positif, menjunam sekitar 30 pips kepada $0.6852 sebaik sahaja berita itu dilaporkan.

Victoria, negeri kedua yang mempunyai populasi paling ramai di Australia itu, melaporkan peningkatan sebanyak 64 kes baru pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 2,099 kes direkodkan di negeri itu setakat ini.

Dalam satu taklimat pada tengah hari tadi, PM Andrews mengumumkan pengenaan semula perintah berkurung tahap 3 selama empat minggu bermula pada malam esok sehingga 29 Julai.

Langkah sekatan itu dikatakan hanya akan membenarkan rakyat untuk keluar dari rumah dengan empat syarat, iaitu untuk ke tempat kerja atau sekolah, terlibat dengan perkhidmatan penjagaan, aktiviti senaman dan untuk mendapatkan makanan atau keperluan lain.

Menurut PM Andrews, sekiranya langkah perintah berkurung di 10 kawasan ini tidak berhasil, maka seluruh negeri akan dikenakan sekatan.

Tindakan yang diambil ke atas Victoria, berpotensi mempengaruhi dagangan dolar Aussie. Matawang itu telah meningkat kira-kira 11% berbanding US dolar dalam tempoh 3 bulan terakhir, sejak negara itu berjaya membendung penularan dan menjadi antara negara terawal membuka semula aktiviti ekonomi.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Queensland akan membuka semula sempadannya kepada semua negeri dan wilayah kecuali Victoria mulai Jumaat depan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat