Rentetan daripada lonjakan semula kes coronavirus sehingga mengakibatkan lebih banyak sekatan baru dikenakan, ahli ekonomi memberi amaran bahawa Eropah berisiko untuk mengalami kemelesetan dua kali ganda (double-dip recession).
Berjuta-juta penduduk di Eropah kini menghadapi sekatan coronavirus baru yang lebih ketat dalam usaha terbaru kerajaan untuk memperlambatkan lonjakan kes setelah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kenaikan yang sangat membimbangkan iaitu sebanyak 44% dalam tempoh hanya satu minggu.
Jerman, Perancis, UK, Itali, Sepanyol dan Belanda telah mengumumkan langkah-langkah sekatan baru dengan lebih banyak dijangka akan dilaksanakan dalam beberapa hari akan datang.
Sementara pada hari Ahad, Belgium mengumumkan penutupan semua bar dan kafe selama empat minggu, manakala Switzerland mengeluarkan arahan pemakaian topeng muka. Perancis pula menguatkuasakan perintah berkurung pada malam hari di Paris dan bandar-bandar lain mulai Sabtu.
Ahli ekonomi dari syarikat perkhidmatan kewangan multinasional Jerman, Allianz, menyatakan ketidakpercayaannya terhadap betapa pantas gelombang kedua melanda benua itu, selain turut mengatakan beberapa negara kini dilihat mengalami pertumbuhan negatif pada suku keempat.
Selain itu, ketua ekonomi dari G+ Economics pula berpendapat kebangkitan semula virus hingga menyebabkan penutupan perniagaan serta kejatuhan keyakinan menjadikan kemelesetan dua kali ganda sebagai senario utama, selain menambah bahawa gangguan Brexit akan memburukkan lagi kemerosotan ekonomi.
Ramalan-ramalan ini pastinya menjadi berita buruk bagi Bank Pusat Eropah (ECB), yang baru bulan lepas meramalkan pertumbuhan suku keempat lebih dari 3%. Kemerosotan lain akan menjejaskan unjuran ECB bahawa ekonomi Zon Eropah akan kembali ke pada tahap pra-Covid-19 menjelang 2022.