Pelabur Kukuhkan Pegangan USD, Apa Berlaku Pada Matawang Lain?

514

Permulaan awal minggu memperlihatkan mata wang euro sedikit meningkat susulan kemenangan Emmanuel Macron dalam pusingan akhir pilihan raya presiden Perancis yang berlangsung pada 24 April.

Pada pembukaan dagangan Asia, euro dibuka lebih tinggi pada sekitar harga 1.081 berbanding USD, namun kembali merosot untuk kekal didagangkan di paras terendah dua tahun yang disentuhnya minggu lalu.

Dengan 97% undian dikira, Macron memegang sokongan kukuh dengan 57.4% undian. Ini bermakna Emmanuel Macron berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Perancis.

Euro, bersama-sama dengan kebanyakan mata wang utama lain telah terjejas teruk akibat lonjakan raja mata wang US dolar yang dipacu oleh peningkatan hasil perbendaharaan AS.

Hal ini kerana, pelabur meletakkan keyakinan yang tinggi untuk langkah kenaikan kadar faedah yang agresif daripada Federal Reserve (Fed).

Pada sesi Asia, indeks dolar didagangkan lebih tinggi pada 101.15 berbanding sekumpulan mata wang utama.

Sementara itu, mata wang pound kekal melemah di sekitar paras harga 1.2820 berbanding US dolar selepas mencatatkan kejatuhan sebanyak 1.4% pada akhir dagangan minggu lalu ke paras terendah sejak November 2020.

Data jualan runcit dan keyakinan pengguna yang lemah serta kenyataan Bank Pusat England (BOE) telah menimbulkan kemungkinan mengenai kelembapan akan berlaku.

Selain itu, yen terus didagangkan lebih rendah meskipun Bank Pusat Jepun (BOJ) pada minggu lalu telah mengambil keputusan untuk pembelian bon kerajaan tanpa had.

Mesyuarat polisi BOJ pada minggu ini akan menjadi tumpuan utama pelabur yang dijangka akan terus mengekalkan dasar monetarinya tidak berubah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat