Pengumuman PERMAI Beri Kesan Besar

292

Bursa Malaysia memulakan hari ini dengan sedikit kukuh selepas jualan besar-besaran semalam yang menarik aktiviti belian saham pada harga rendah.

Minat pelabur ditingkatkan oleh pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion semalam.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.66 mata kepada 1,613.18 dengan kenaikan dilihat hampir secara menyeluruh.

Bernama melaporkan, indeks dibuka tinggi 1.54 mata kepada 1,611.06 daripada 1,609.52 semasa ditutup semalam.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 247 berbanding 182, manakala 287 kaunter tidak berubah, 1,380 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 436.26 juta unit bernilai RM162.14 juta.

Dalam nota hari ini, Public Bank Investment Research berkata, bursa tempatan turut ditingkatkan oleh hakikat bahawa pasaran ekuiti Eropah tinggi semalam, berikutan data ekonomi China yang kukuh bersaing dengan kebimbangan mengenai kemelesetan berganda di United Kingdom (UK) dan zon Eropah.

“Pasaran China ditingkatkan oleh berita bahawa ekonomi kedua terbesar dunia itu berkembang 6.5% pada suku keempat 2020, kadar yang lebih cepat daripada sebelum pandemik, dan melebihi jangkaan,” menurut firma penyelidikan itu.

Sementara itu, Malacca Securities dalam nota berkata, pengumuman Perdana Menteri mengenai pakej PERMAI bernilai RM15 bilion dijangka meningkatkan pasaran, walaupun sentimen pelabur mungkin terus berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 10 sen kepada RM8.18, Public Bank menambah 12 sen kepada RM21.10, manakala PetChem tidak berubah pada RM7.28.

Tenaga merosot dua sen kepada RM10.06 dan Top Glove berkurangan tiga sen kepada RM6.31.

Daripada saham cergas, Vsolar tidak berubah kepada empat sen, manakala ARB, KTG dan Kanger, masing-masing meningkat satu sen kepada 28.5 sen, 28 sen dan 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 25.52 mata kepada 11,654.48, Indeks FBMT 100 meningkat 23.25 mata kepada 11,379.06, dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 15.05 mata kepada 13,186.85.

FBM 70 meningkat 20.4 mata kepada 14,888.46 dan FBM ACE naik 55.52 mata kepada 10,943.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 79.39 mata kepada 14,881.62, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.31 mata kepada 178.55 dan Indeks Perladangan meningkat 51.27 mata kepada 7,350.58.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat