Pakar memberi amaran ketegangan yang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dan China di Laut China Selatan ketika ini masih mengancam konflik global dan dua kuasa dunia itu berkemungkinan merancang ‘konflik terkawal’.
Menurut pengarah Pusat Kajian Strategi Maritim di Universiti Peking, Hu Bo, AS menghantar kapal ke wilayah terbabit adalah bertujuan untuk menyekat China daripada mengambil kesempatan terhadap ruang vakum atau kekosongan dalam pentadbiran di wilayah itu.
Tambah beliau, wujud risiko akan berlakunya konflik ketenteraan jika terjadinya insiden-insiden yang tidak diingini.
Jelasnya lagi, tindakan provokasi seperti itu didorong sepenuhnya oleh kemahuan politik untuk menunjukkan kekuatan dan kekerasan tetapi juga boleh mencetuskan insiden buruk.
China ketika ini ‘menuntut’ kebanyakan di kawasan Garisan Sembilan Baris di Laut China Selatan namun lokasi tersebut turut dituntut oleh beberapa negara seperti Malaysia, Filipina, Brunei dan Vietnam.
Lapor Express UK, hubungan China dengan Vietnam dan Filipina dilihat semakin keruh susulan pertikaian di wilayah terbabit dan kedua-dua negara berkenaan mendapat sokongan daripada AS.
AS dilaporkan menghantar anggota tenteranya ke beberapa pangkalan di Filipina dan menyediakan kapal peronda ke Vietnam, berkemungkinan sengaja untuk mencetuskan provokasi terhadap China.
Pada 2016, AS mencapai persetujuan dengan Filipina untuk membina penempatan ketenteraan di sekitar Filipina.
Tindakan AS itu mencetuskan kemarahan Beijing kerana pembinaan Pangkalan Udara Antonio Bautista di barat pulau Palawan dibina bertentangan dengan Kepulauan Spratly yang terletak di kawasan Laut China Selatan.
Tambahan pula, AS melaksanakan langkah berkenaan sebagai tindak balas terhadap tindakan China membangunkan ‘kubu’ di gugusan Kepulauan Spratly.