Emas terus didagangkan di lautan merah pada pembukaan sesi Eropah selepas mencatatkan peningkatan hampir $50 dalam masa dua hari sahaja pada minggu ini.
Logam berharga itu sebelum ini mencecah paras ketinggian mingguan terbaru dengan meningkat pada $1,875 per auns pada sesi New York tetapi kembali merosot selepas itu.
Kenaikan ini telah disokong oleh peningkatan jumlah kes coronavirus harian dan harapan terhadap lebih banyak rangsangan menjadikan logam berharga ini meraih permintaan daripada pelabur.
Pada hari Selasa, jumlah kes coronavirus di Amerika Syarikat melepasi angka 15 juta, menjadikannya kekal sebagai negara yang mempunyai kes paling tinggi di seluruh dunia. Menurut data Johns Hopkins University, secara purata, lebih 200,000 rakyat Amerika diuji positif Covid-19 setiap hari.
Namun begitu, perkembangan positif mengenai vaksin Covid-19 turut membayangi dagangan emas sehingga menyebabkan terdapat pelabur yang melepaskan pegangan terhadap aset safe-haven ini.
Berikutan sentimen pasaran yang bercampur-campur ini, para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati sebelum meletakkan posisi pada sesi dagangan hari ini.
Harga emas yang telah mencatatkan peningkatan hampir $50 dalam masa dua hari sahaja pada minggu ini, didagangkan susut di sekitar paras harga $1,860 per auns. Sementara niaga hadapan emas pula diniagakan $1,864 per auns (3.45 petang waktu Malaysia).