PKP 2.0 – Ringgit Malaysia Mula Terkesan!

1,081

Saban hari negara kita  merekodkan kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat. Sehingga hari ini, sebanyak hampir 136,000 kes telah dicatat sebagai positif Covid-19 dan 551 orang telah meninggal dunia akibat pandemik tersebut. Jumlah kematian yang tercatat ialah bersamaan dengan 0.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 iaitu sebanyak 135,992 kes dan seramai 108,000 orang telah sembuh.

Data yang semakin membimbangkan menyebabkan kerajaan pada hari ini telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam Rabu ini sehingga 26 Januari. Pengumuman itu diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada jam 6 petang tadi.

Perintah ini melibatkan tiga peringkat pelaksanaan seperti berikut:

  • PKP ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
  • PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
  • PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

Dalam perutusan tersebut, dimaklumkan bahawa pergerakan rentas negeri adalah dilarang sama sekali bagi seluruh negara manakala bagi negeri yang dikenakan PKP,pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan.

Selain itu, sepanjang tempoh PKP, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan orang ramai seperti kenduri adalah tidak dibenarkan.Bagi sektor ekonomi, hanya 5 jenis sektor ekonomi sahaja yang dibenarkan beroperasi iaitu sektor ekonomi perlu seperti sektor pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi dibenarkan beroperasi. Bagi sektor yang tidak disebutkan, arahan bekerja dari rumah telah dikeluarkan.

Susulan pengumuman umum oleh Perdana Menteri, prosedur operasi standard (SOP) yang lebih terperinci mengenai perintah kawalan pergerakan (PKP) dijadualkan akan diumumkan esok pada jam 5 petang.

Pada hari ini, Ringgit Malaysia telah menunjukkan penyusutan berbanding US dolar pada paras USD/MYR 4.05. Pasaran juga mengkhuatirkan bahawa ekonomi Malaysia bakal merosot lagi sebagaimana yang berlaku pada suku kedua tahun lepas dengan kemelesetan ekonomi terbesar dalam 1 dekad.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat