Raja USD Terus Berkuasa, Apa Jadi Dengan Mata Wang Lain?

1,369

Para pelabur terus memperkukuhkan pegangan terhadap raja mata wang US dolar sementara menantikan penerbitan data inflasi Amerika Syarikat pada hari ini.

Ini disokong oleh hasil perbendaharaan 10 tahun AS yang melonjak ke paras tertinggi terbaharu tiga tahun, sekali gus melemahkan mata wang yen yang sensitif dengan pengukuhan hasil bon AS.

Yen terbenam ke paras terendah lebih lima tahun berbanding greenback, di tengah-tengah jangkaan bahawa data inflasi Amerika yang kuat akan mendorong Federal Reserve (Fed) untuk bertindak lebih agresif.

Harga pengguna AS yang bakal dikeluarkan pada malam ini diramalkan meningkat ke paras tertinggi baharu 40 tahun melebihi 8% secara tahunan pada bulan Mac.

Ketika penulisan, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam mata wang utama diperdagangkan di paras terkuat sejak Mei 2020.

Mata wang berkaitan komoditi pula terus mempamerkan prestasi terburuknya, di mana dolar Aussie merosot ke paras terendah hampir tiga minggu, manakala dolar kiwi pula paling lemah hampir empat minggu.

Ketidakpastian mengenai kemungkinan langkah sekatan di Guangzhou meresahkan dagangan kedua-dua mata wang itu yang sangat bergantung kepada perkembangan ekonomi China.

Meneliti perkembangan mata wang Eropah, euro terus didagangkan lemah di paras terendah satu bulan di tengah kewaspadaan pelabur menjelang mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB).

Mata wang pound turut suram selepas menyaksikan data pertumbuhan ekonomi UK yang perlahan pada bulan Februari. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) UK berkembang sebanyak 0.1% daripada 0.8% yang dicatatkan sebelumnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat