Rentetan daripada larangan eksport beras India dan keadaan cuaca buruk yang boleh menjejaskan pengeluaran, harga beras telah melonjak ke paras tertinggi 12 tahun.
Menurut agensi makanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Indeks Harga Semua Beras Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) bagi Julai meningkat sebanyak 2.8% kepada 129.7 mata.
Angka itu meningkat 19.7% berbanding setahun lalu, dan nilai nominal tertinggi sejak September 2011. Data daripada FAO menunjukkan kenaikan harga paling mendadak adalah Thailand.
Kebimbangan terhadap potensi kesan El Nino ke atas pengeluaran oleh sesetengah pembekal telah memberi sokongan lanjut kepada kenaikan harga, menurut laporan itu.
Ia juga turut dipengaruhi oleh gangguan yang disebabkan oleh hujan dan kebolehubahan kualiti dalam penuaian musim panas-musim luruh di Vietnam yang berterusan.
Dalam pada itu, harga juga terkesan oleh tindakan India yang telah mengharamkan eskport beras putih bukan basmatinya pada bulan lepas bagi membantu memastikan ketersediaan bekalan yang mencukupi serta meredakan kenaikan harga di pasaran domestik.
Selaku pengeksport beras utama di dunia, India menyumbang lebih 40% daripada perdagangan beras global.
Walaupun ia menjejaskan sebahagian daripada keseluruhan penghantaran beras India, FAO menyatakan bahawa sekatan eksport itu ‘menimbulkan kebimbangan keselamatan makanan yang besar untuk sebahagian besar penduduk dunia’.
Harga beras berlegar pada paras tertinggi sedekad, dengan niaga hadapan beras kasar terakhir didagangkan pada $16.02 per hundredweight (cwt).
Penganalisis berpandangan harga beras akan terus menyaksikan peningkatan pada bulan Ogos berbanding bulan lepas.
Harga minyak berpotensi melonjak lebih jauh jika negara lain mengikut jejak India dalam melaksanakan sekatan eksport.
Sementara El Nino pula boleh memburukkan lagi risiko pengeluaran global di pengeluar beras Asia utama lain seperti Thailand, Pakistan dan Vietnam.