RBA Kekalkan Kadar Faedah, AUD Teruskan Momentum Pengukuhan

280

Reserve Bank of Australia kekal dengan memutuskan kadar faedah tidak berubah pada paras terendah 0.25% dalam mesyuarat polisi bagi bulan Jun, seperti yang dijangkakan oleh pasaran.

Menerusi kenyataan susulan oleh Gabenor RBA, Philip Lowe memberitahu bahawa pelonggaran monetari dan rangsangan fiskal yang besar telah membantu ekonomi untuk berhadapan krisis ini. Terdapat kemungkinan bahawa sokongan fiskal dan monetari ini diperlukan untuk sementara waktu.

Dengan mengakui bahawa ekonomi global kini mengalami kemerosotan yang parah dan menyebabkan lonjakan ketara dalam kadar pengangguran, Lowe mengatakan situasi ini telah bertambah baik.

Ekonomi Australia dikatakan sedang mengalami penguncupan terbesarnya sejak tahun 1930-an pada suku tahunan semasa, tetapi terdapat kemungkinan bahawa penurunan yang dialami mungkin lebih baik daripada yang dijangkakan.

Penurunan yang signifikan dalam kes jangkitan baru, sekatan yang dilonggarkan lebih awal daripada jangkaan dan tanda-tanda bahawa waktu bekerja mula stabil pada awal Mei sedikit sebanyak telah membantu kepada pemulihan.

Malah, terdapat juga peningkatan dalam beberapa bentuk pembelanjaan pengguna. Sehubungan itu, RBA hanya melakukan satu pembelian bon sahaja sepanjang bulan lalu, dengan semua pembelian berjumlah kira-kira $50 bilion.

Sementara itu, bank pusat juga mengatakan kesediaannya untuk meningkatkan pembelian bon kerajaan jika diperlukan untuk memastikan hasil bon 3 tahun berada pada sasaran di sekitar 0.25%.

RBA sekali lagi menegaskan komitmennya untuk melakukan segala yang termampu untuk menyokong pekerjaan, pendapatan dan perniagaan serta memastikan Australia berada pada posisi yang baik untuk pemulihan.

Dolar Aussie terus diniagakan tinggi berbanding US dolar susulan keputusan kadar faedah oleh RBA, dengan tumpuan pasaran seterusnya beralih kepada penerbitan data GDP Australia bagi suku pertama 2020 pada pagi Rabu sesi Asia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat