RBNZ Kekalkan Kadar Faedah, Kenyataan Dovish Dorong Kejatuhan NZD

377

Reserve Bank of New Zealand (RBNZ), menepati jangkaan pasaran dengan mengekalkan kadar faedah pada tahap terendah 0.25% dan program pelonggaran kuantitatifnya pada mesyuarat polisi hari ini.

Namun begitu, bank pusat turut menyatakan keterbukaannya untuk mengambil langkah selanjutnya jika diperlukan bagi menangani impak coronavirus terhadap inflasi dan pekerjaan di New Zealand.

Hal ini kerana, ia masih tidak jelas sama ada langkah rangsangan yang dilaksanakan RBNZ sehingga kini adalah mencukupi bagi memenuhi sasaran bank pusat.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dikatakan bersedia untuk memberikan rangsangan tambahan yang diperlukan. Selain berpotensi untuk meningkatkan program Pembelian Aset Skala besar (LSAP), jawatankuasa juga sedia menggunakan alat dasar monetari tambahan sekiranya perlu.

New Zealand dikatakan sudah berjaya dalam membendung penularan Covid-19 dalam negara buat masa ini, yang memungkinkan pelonggaran sekatan dan menyambung semula aktiviti ekonomi domestik lebih awal daripada yang dijangkakan pada bulan lepas.

Walau bagaimanapun, ekonomi tetap berdepan dengan cabaran yang besar walaupun disokong oleh rangsangan fiskal kerajaan yang dilihat lebih tinggi daripada dijangkakan bank pusat.

Gabenor RBNZ, Adrian Orr menyatakan kesan pandemik terhadap negara dan seluruh dunia mungkin akan terus berlanjutan untuk masa yang lebih lama, menyebabkan kelemahan dalam aktiviti ekonomi, pekerjaan dan inflasi.

Kesan terhadap ekonomi diburukkan lagi oleh sekatan sempadan yang dilaksanakan secara global, berikutan sebahagian besar negara masih berjuang untuk memerangi wabak itu, sementara peningkatan nilai dolar New Zealand pula memberikan tekanan kepada pendapatan eksport negara.

Kenyataan bernada dovish itu menekan dagangan dolar New Zealand untuk jatuh dari paras harga 0.6504 kepada 0.6448 berbanding US dolar, dan kemudiannya didagangkan di sekitar paras harga $0.6470.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat