Sajid Javid Akui Brexit Bakal Jejaskan Sektor Perniagaan Di UK

258

Menteri Kewangan UK, Sajid Javid mengakui perniagaan di negara itu akan terjejas disebabkan oleh Brexit dan memberitahu kepada pengeluar bahawa tidak akan ada penyelarasan dengan peraturan Kesatuan Eropah (EU) sebaik sahaja Britain keluar dari EU secara rasmi.

Dengan berbaki kurang dua minggu menjelang tarikh akhir Brexit, Javid memberitahu bahawa Perbendaharaan tidak akan memberi sokongan kepada pengeluar yang mematuhi peraturan EU kerana sektor tersebut telah diberikan masa tiga tahun untuk memulakan hubungan dagangan baru dengan blok itu, iaitu merujuk kepada bermulanya referendum pada 2016.

Dalam temubualnya dengan Financial Times, beliau berkata bahawa tiada penyelarasan bakal dilakukan, malah UK juga tidak akan mematuhi peraturan EU serta berada dalam pasaran tunggal atau kesatuan kastam, dan perkara itu akan berlaku sebelum berakhirnya tahun ini.

Tambah beliau, beberapa perniagaan bakal terkesan dengan tindakan ini manakala beberapa lagi akan menerima manfaat daripadanya.

Berikutan daripada itu, Persekutuan Makanan dan Minuman berkata tindakan yang diambil oleh Perbendaharaan mungkin akan menyebabkan harga makanan meningkat lebih tinggi menjelang akhir tahun.

Terdahulu, industri automotif, makanan dan minuman serta farmaseutikal telah memberi amaran kepada kerajaan bahawa peralihan daripada peraturan utama EU akan menjejaskan sektor itu.

Beberapa pegawai EU juga memberi amaran kepada PM UK Boris Johnson bahawa tempoh untuk rundingan perdagangan adalah terlalu singkat ekoran tindakan perdana menteri itu yang enggan untuk melanjutkan tempoh peralihan Brexit.

Ahli Parti Buruh, John McDonnell berkata kenyataan Javid menunjukkan janji Parti Konservatif sebelum ini adalah tidak bernilai kerana kebimbangan terhadap peningkatan harga dan ancaman terhadap pekerjaan dalam industri automotif dan pembuatan kini menjadi nyata disebabkan tindakan sedimikian.

Menjelang beberapa bulan akan datang, memulakan hubungan dagangan baru dengan EU akan menjadi sangat penting untuk Britain dengan rundingan perdagangan akan bermula sebaik sahaja UK keluar dari blok itu pada 31 Januari.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat