Sentimen Perdagangan Kembalikan Keyakinan Firma, Eksport China Catat Lonjakan

195

Rentetan daripada pengeluaran dari senarai pemanipulasi matawang oleh Amerika Syarikat, China terus menerima berita gembira pada hari ini apabila data perdagangan menunjukkan bacaan eksport bagi bulan Disember negara itu meningkat buat kali pertama dalam tempoh 5 bulan.

Peningkatan tersebut memperlihatkan pemulihan yang sederhana dalam permintaan selepas A.S dan China bersetuju untuk meredakan perang dagang mereka yang selama ini telah menjejaskan pertumbuhan global.

Setelah menghadapi tahun yang sukar, eksport China kembali meningkat dengan kenaikan 7.6% pada Disember berbanding tahun sebelumnya. Import pula melonjak sebanyak 16.3% meskipun dipengaruhi oleh harga komoditi yang lebih tinggi.

Naib Menteri Pentadbiran Kastam China, Zhou Zhiwu berkata import China melonjak pada dua bulan terakhir 2019 yang didorong oleh kenaikan import kacang soya dan daging babi dari A.S.

Beliau turut memberitahu bahawa sentimen perdagangan yang optimis telah membantu meningkatkan keyakinan syarikat pada bulan Disember.

Secara keseluruhan, Beijing mencatat lebihan dagangan sebanyak $46.79 bilion pada bulan Disember, melebihi jangkaan pasaran yang mengunjurkan lebihan sebanyak $45.8 bilion. Namun begitu, lebihan dagangan China dengan A.S mencatat sedikit penurunan pada bulan tersebut dijejaskan oleh pertikaian yang dihadapi sebelum ini.

Menurut sumber dipetik dari laporan Reuters, perjanjian fasa 1 yang akan ditandatangani esok akan menyaksikan persetujuan China untuk membeli $200 bilion barangan A.S selama dua tahun. Bagaimanapun, tiada pengesahan dilakukan oleh pihak China mengenai angka-angka tersebut.

Bagi mendapatkan kejelasan mengenai terma-terma perjanjian fasa 1, teks perjanjian itu akan diterbitkan pada hari Rabu sebelum upacara menandatangani dimulakan, menurut kenyataan wakil perdagangan A.S (USTR) Robert Lighthizer.

Anda mungkin juga berminat